LONTONG goreng menu popular.
LONTONG goreng menu popular.
Oleh Aniza Zainudin


Adunan bawang putih, bawang merah, halia, cili padi dan belacan menjadi rempah utama menu lontong goreng, menghasilkan cita rasa unik sekali gus menjadi ‘signature’ kafe Fikcles, di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Hirisan daging ayam nipis diliputi rempah menyempurnakan keenakan hidangan klasik popular musim perayaan berasal dari Johor ini. Ketulan nasi impit dipotong sederhana digoreng bersama rempah dan hirisan ayam memiliki kombinasi rasa sedikit manis dan pedas.

Lebih enak, jika sajian ini dijamu ketika ia masih panas. Demi mencipta kelainan dan mempamerkan kreativiti, lontong goreng turut dihias bersama telur mata kerbau dan kepingan papadom.

Sebagai anak jati berasal dari selatan, Ibrahim Adham Asmail, melihat idea membawa makanan Johor ke ibu kota sebagai cara berkongsi selera bersama pengunjung menjamu makanan tradisi.

“Di Fikcles, kita bukan saja menghidangkan sajian Barat bahkan menu tempatan. Kita juga menitikberatkan selera masyarakat setempat, justeru setiap menu ditawarkan turut diubah suai mengikut cita rasa Malaysia,” katanya.

Tarikan juga terletak pada sajian ringan, ‘Mushroom Junkie’ menggabungkan tiga jenis cendawan, iaitu cendawan tiram, ‘Shiitake’ dan ‘Shimeji’. Kombinasi tiga cendawan ini menghasilkan hidangan yang sangat lazat, ditambah sos krim pekat diadun bersama serbuk lada hitam.

Dihidangkan bersama roti bawang putih, ‘Mushroom Junkie’ menu terbaik di Fikcles. Ibrahim turut memperkenalkan menu popular pilihan penggemar sajian Barat termasuk ‘Salted Egg Squid’, ‘Sliders’ dan ‘Herb Crusted Lamb Rack’.

Lari daripada kebiasaan, ‘Salted Egg Squid’ dihidangkan dengan gaya berbeza apabila potongan sotong menjadi ‘inti’ bagi kepingan tortilla. Bagi mereka yang ingin mencuba hidangan besar tetapi berskala kecil bersama pasangan, ‘Sliders’ adalah pilihan tepat.

‘Sliders’ adalah hidangan burger daging mini berkeju mozarella, ditambah potongan bawang besar berasa karamel. Penggemar daging kambing boleh merasa kelainan sekiranya menjamu ‘Herb Crusted Lamb Rack’. Hidangan daging kambing diselaputi serbuk roti yang ranggup bersama herba terpilih.

Enak apabila ia dinikmati bersama sos lada hitam dan cendawan. Selain itu, kentang putar dan salad turut melengkapkan selera pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:01 AM