KEUNIKAN sajian.
KEUNIKAN sajian.
MEMENUHI permintaan pengamal diet vegetarian.
MEMENUHI permintaan pengamal diet vegetarian.
SAJIAN paling popular.
SAJIAN paling popular.
MEMPROMOSI pemakanan seimbang.
MEMPROMOSI pemakanan seimbang.
Oleh Aniza Zainudin


Hirisan daging ayam lembut diperkaya rasa herba dan rempah ratus menjadi aksesori menu ‘Spicy Cream Cheese Pasta Grilled Herb Chicken’ dilihat sebagai bonus tambahan yang berjaya menyempurnakan hidangan.

Bagi penggemar pasta, kafe Pop’s Eatery diusahakan dua sahabat baik, Kenny Teng dan Arze Zamir, seharusnya disenaraikan antara destinasi menjamu selera wajib kunjung.

Kelazatan juga terletak pada keunikan rasa sos keju berkrim yang menjadi asas kepada hidangan ini. Kuah berkrim ini membuatkan hidangan tampak menyelerakan serta tidak terlalu kering untuk dinikmati.

Menggabungkan elemen Barat dan Timur, iaitu ramuan keju dan cili berjaya mencipta cita rasa tersendiri, yang diyakini memenuhi selera masyarakat setempat.

Memulakan operasi sejak Mei 2014 dan menawarkan sajian makanan Barat pada harga berpatutan, Kenny berkata Pop’s Eatery cuba mencipta kelainan dengan menghasilkan menu ‘in-house’ antaranya ‘Pasta Tomyam Tuna’ dan ‘Stir Fried Spageti Beef Beacon Cili Padi’.

“Kita lebih dikenali dengan sebagai ‘Comfort Food’ membawa erti sajian enak dan harga mampu bayar. Kita juga ingin memperkenalkan gaya pemakanan sihat apabila menghasilkan hidangan segar setiap hari.

“Prihatin dengan cita rasa dan diet pelanggan, kita juga menawarkan menu vegetarian, ‘Aglio Olio Vegetarian’.

“Bagi memastikan kita sentiasa ‘up-to-date’ dengan selera pengunjung, setiap bulan, Pop’s Eatery memperkenalkan dua hidangan baru dan mendapatkan respons pelanggan seterusnya dimasukkan dalam menu utama, termasuk ‘Grilled Chicken Burger’,” katanya ketika ditemani rakan kongsinya.

Pop’s Eatery yang diinspirasi dari kafe komuniti diusahakan Pop Tate, dalam komik popular, Archie, turut terkenal dengan hidangan pencuci mulut tradisional Sepanyol, Churros, yang dinikmati bersama sos coklat mahupun ‘salted caramel’.

Enak dihidang panas, Churros juga mempunyai rasa adunan yang sebati malah ia ranggup meskipun sejuk.

Mampu memuatkan kira-kira 40 pelanggan dalam satu-satu masa, Pop’s Eatery turut menyajikan kentang goreng berkeju yang sentiasa menjadi pilihan makanan bagi mereka yang ingin menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga mahupun teman.

Raja Sofie tertarik aneka rasa Churros

Sebagai penggemar makanan Barat, pengacara program Assalamualaikum, terbitan TV AlHijrah, Raja Sofie Raja Arif, berpandangan sajian diperkenalkan Pop’s Eatery berjaya memenuhi cita rasanya.

Bakal bergelar ibu, wanita berusia 24 tahun ini menyenarai menu ‘Spicy Cream Cheese Pasta Grilled Herb Chicken’ sebagai hidangan wajib cuba bagi mereka yang menggemari pasta keju berkrim.

“Kombinasi cita rasa Barat dan Timur mencipta rasa unik apabila sos pasta ini menggunakan keju krim bersama empingan cili sekali gus menghasilkan sos berkrim dan pedas.

“Eksperimentasi menu ini semestinya berjaya mengikat selera masyarakat Malaysia yang menggemari hidangan pedas.

“Bagi pengamal vegetarian, mereka boleh mencuba ‘Aglio Olio Vegetarian’ kaya dengan aroma bawang putih, lada hitam dan juga lada benggala. Inisiatif ini sesuai bagi memenuhi permintaan pelanggan vegetarian,” katanya.

Tertarik dengan pencuci mulut popular, Churros, Raja Sofie berkata hidangan panas itu disajikan bersama dua sos enak, coklat dan ‘salted caramel’ yang memiliki cita rasa tersendiri dan tidak terlalu manis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:01 AM