MI Calong hidangan unik.
MI Calong hidangan unik.
Aniza Zainudin


Rasa ikan yang pekat dan enak dalam setiap kunyahan bebola ikan dan hirupan sup bagi hidangan tanda pengenalan mi calong menjadi tarikan utama Restoran Rasa Wau Penyu yang diusahakan wanita berasal dari Beserah, Pahang ini.

Menu tanda pengenalan ini sememangnya sinonim dengan Beserah kerana hidangan mi bebola ikan ini berasal dari daerah berkenaan malah ia antara sajian kegemaran penduduk setempat.

Menurut Shezlinda Othman, 43, idea untuk membawa makanan pantai timur terutama negeri kelahiran timbul kerana keinginannya berkongsi sajian unik bersama masyarakat di ibu kota.

KERUTUB daging yang kaya dengan rempah ratus.
KERUTUB daging yang kaya dengan rempah ratus.

“Sebenarnya saya suka memasak dan sering menjamu keluarga serta rakan yang berkunjung ke rumah. Prinsip utama dalam menyajikan makanan adalah kepuasan mereka yang menikmati hidangan disediakan.

“Saya yakin makanan yang disediakan seperti hidangan di rumah adalah sajian paling enak. Kebanyakan menu yang disajikan di restoran ini berasal dari Pahang, Terengganu dan Kelantan kerana ia antara menu kegemaran saya yang sukar didapati di Lembah Klang.

“Seperti mi calong, ia adalah hidangan nostalgia bagi saya kerana ketika kecil saya sering membantu ibu saudara menjualnya.

“Bagi memastikan keaslian mi calong, saya menggunakan ikan selayang sebagai ramuan utama kerana ia memiliki rasa yang manis dan isi lazat.

“Ikan selayang direbus terlebih dulu dengan menggunakan rempah sup bunjut, garam, lada hitam dan sedikit gula tanpa perisa tambahan lain selama sejam.

“Kemudian isi ikan akan dijadikan bebola selepas ia dicampurkan bersama tepung ubi, tepung sagu dan garam manakala tulangnya akan direbus untuk dijadikan pati utama sup,” katanya ketika ditemui.

 HIDANGAN gulai kawah daging yang enak.
HIDANGAN gulai kawah daging yang enak.

Hidangan mi calong turut dilengkapi tauhu sumbat bergoreng yang mengandungi bebola ikan, bagi menambah rasa, padanan sambal cili padi menyempurnakan selera.

Hanya ditawarkan pada hujung minggu di Restoran Rasa Wau Penyu, mi calong selalunya dihidangkan bersama keropok lekor sebagai ‘bebola ikan tambahan’.

Menu ayam kampung kapitan, satu lagi hidangan istimewa yang jarang dijadikan menu di restoran Melayu.

Menggunakan ayam kampung sebagai ramuan utama, hidangan unik ini disediakan teliti apabila ayam digoreng separuh masak terlebih dulu untuk mengelakkan isinya keras.

PATIN yang dibawa khas dari Temerloh.
PATIN yang dibawa khas dari Temerloh.

Kombinasi rempah kari, herba tempatan seperti bawang merah, bawang besar, bawang putih serta halia sebagai perapan menjadikan rasa isi ayam padat dengan cita rasa.

Memulakan operasi Disember lalu, restoran ini menyajikan kira-kira 20 menu setiap hari, antaranya, patin masak tempoyak, ketam masak lemak cili api, kerutup daging gulai kawah daging dan sebagainya.

Restoran berkapasiti 50 pelanggan ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin seawal jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

SHEZLINDA mahu kongsi keenakan sajian negeri pantai timur.
SHEZLINDA mahu kongsi keenakan sajian negeri pantai timur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 9:13 AM