KIOS Melto di Main Palce Mall, USJ Subang Jaya.
KIOS Melto di Main Palce Mall, USJ Subang Jaya.
BURGER mini pilihan kanak-kanak.
BURGER mini pilihan kanak-kanak.
KAFE Melto menyediakan sandwic sayuran yang padat dengan rasa sayuran segar.
KAFE Melto menyediakan sandwic sayuran yang padat dengan rasa sayuran segar.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Bagi penggemar daging, menu yang disediakan untuk pengamal diet sayuran bukan pilihan utama kerana stereotaip dengan hidangan seumpama itu dipenuhi rasa sayur dan tidak setanding menu berdaging.

Penulis pula berpendapat, menu sayuran tidak mengenyangkan dan tidak setanding dengan hidangan daging.

Namun, pertama kali mencuba menu sandwic sayuran di Kafe Melto, pandangan itu meleset sama sekali kerana ia bukan saja lazat, malah padat dengan rasa dan mengenyangkan.

Sandwic sayur yang seimbang itu ada ‘rasa’ enak gabungan daripada cendawan, avokado, tomato, salad, bawang, cili dan beberapa bahan lain.

Cendawan yang digoreng kilas terlebih dulu memberikan rasa hampir sama seperti daging manakala avokado yang dilecek dengan beberapa bahan lain menjadikan hidangan itu berbeza.

Menurut pemilik Kafe Melto, pasangan suami isteri Noor Aida Aminshah dan Adam Idris, menu itu digemari ramai dan pelanggan bukan hanya daripada pengamal diet sayuran.

“Menu ini pada awalnya kami cipta untuk pengamal diet sayuran, tapi turut digemari pelanggan lain kerana rasa sayuran dalam sandwic itu seimbang,” kata Noor Aida.

Dia berkata, pengunjung boleh memilih untuk menikmati sandwic bersama hidangan sampingan iaitu keledek goreng.

“Kebiasaannya orang sediakan kentang goreng atau cip kentang sebagai hidangan sampingan, tapi kami guna keledek kerana ia lain daripada lain.

“Sebenarnya kami suka makan sandwic dan keledek. Jadi kedua-dua menu ini kami tampilkan bersama bagi menampilkan hidangan berbeza tapi sedap,” katanya.

Menurutnya, idea mengetengahkan menu sandwic dilakukan kerana minat mendalam mereka terhadap hidangan berkenaan.

“Kami memang minat makan sandwic kerana ia makanan yang lengkap dan mudah kepada setiap peringkat umur.

“Kami juga suka mencuba, jadi sandwic memberi peluang untuk kami bereksperimen dengan menggabungkan beberapa bahan,” katanya.

Selain sayuran, kafe Melto turut menawarkan beberapa pilihan sandwic lain seperti sandwic ayam, daging, kambing dan telur.

Menu terbaru yang ditawarkan ialah sandwic kambing gril yang diselaputi sos lada hitam dan dikapit bersama roti baguette.

Bagi kanak-kanak, antara menu yang menarik perhatian mereka ialah ‘sliders’ atau burger mini.

“Biasanya orang dewasa akan pesan dua atau tiga burger mini kerana tiga hidangan burger mini sama seperti satu sandwic saiz biasa.

“Kami juga sediakan enam jenis sos untuk burger mini dan pelanggan boleh pilih sendiri seperti sos cili, sos lada hitam dan sos biji sawi,” katanya.

Kafe Melto beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di Main Place Mall, USJ Subang Jaya. Maklumat lanjut boleh layari Instagram @meltosandwich.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 11:03 AM