Antara barangan dan serpihan pesawat yang ditemui. - Foto AFP/Facebook jurucakap tentera Mesir/ Reuters
Antara barangan dan serpihan pesawat yang ditemui. - Foto AFP/Facebook jurucakap tentera Mesir/ Reuters
Reuters

Kaherah: Cebisan mayat manusia yang ditemui menunjukkan kemungkinan besar berlaku letupan dalam pesawat EgyptAir walaupun setakat ini pasukan penyiasat masih belum menemui kesan bahan letupan.

Sumber forensik Mesir berkata, berdasarkan penilaiannya terhadap saiz cebisan mayat kecil yang ditemui di Laut Mediterranean, menunjukkan berlaku letupan dalam pesawat.

“Cebisan mayat kecil dengan yang terbesar setakat ini sebesar tapak tangan,” kata pegawai forensik itu.

Menurutnya, sejak Ahad lalu, pasukan pencari sudah mengumpul kira-kira 23 beg cebisan tubuh manusia namun hanya sebahagian kecil tiba kepada pasukan forensik menyebabkan pihaknya masih belum dapat membuat kesimpulan kukuh berlakunya letupan.

Penyiasat Perancis menyatakan antara data yang dihantar pesawat itu ialah amaran ada asap dalam pesawat serta tidak menolak kemungkinan berlaku kerosakan sistem komputer sebelum pesawat berkenaan hilang.

Data itu tidak menyatakan punca berlakunya asap dan pakar penerbangan tidak menolak kemungkinan sabotaj atau masalah teknikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 6:56 PM