Ardini Sophia Sina


Pelakon muda, Sophie Turner, 20, disebut-sebut antara yang berjaya tahun ini. Lakonannya sebagai Sansa Stark dalam siri Game Of Thrones yang kini masuk musim keenam, membantu meningkatkan populariti gadis itu.

Tidak itu saja, wataknya sebagai Jean Grey, remaja mutan yang mempunyai kuasa telekinetik sungguh menarik perhatian. Dia antara karakter yang menjadi tumpuan dalam filem X-Men: Apocalypse yang kini ditayangkan di pawagam.

Mengimpikan berada pada puncak kerjaya sejak usia 13 tahun, ia akhirnya menjadi kenyataan kini. Semua lakonannya berjaya menambat hati penonton. Sophie akui berada di lokasi penggambaran mendewasakan dirinya kerana dikelilingi orang yang lebih dewasa.

“Ia memberikan pengaruh yang baik kepada saya. Mereka berkongsi pengalaman hidup yang akhirnya saya juga akan lalui. Pergaulan dengan mereka membuatkan saya bersedia untuk cabaran hari mendatang.

“Selain itu, karakter yang saya lakonkan dalam Game Of Thrones juga mengajar saya untuk berfikiran relevan menangani situasi.

“Awal cerita, Sansa gadis sopan dan menjaga tatatertib tetapi berubah menjadi kental, tegas dan bijak menggunakan kuasanya.

“Karakter itu memberikan aura positif kepada saya. Ia antara sikap yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian. Wanita tidak seharusnya mengiyakan kenyataan yang mengatakan wanita insan lemah dan perlu dilindungi.

“Kita sendiri boleh melindungi diri kita tetapi kena betul caranya,” katanya.

Bercita-cita menjadi penari balet ketika berusia 11 tahun, Sophie memasuki sekolah tarian berprestij di London. Walaupun sudah lama berlalu, disiplin dan stamina masih diterapkan dalam lakonan terutama dalam persiapan memegang watak Jean Grey.

Jadual hariannya sangat padat kerana bekerja 13 jam sehari termasuk bersenam selama sejam enam hari seminggu. Dia akan mula disolek seawal jam 5 pagi dan hanya selesai jam 7 pagi. Bagaimanapun, dia mendapati ada persamaan karakter di antara Sansa dan Jean.

“Untuk solekan saja mengambil masa dua jam. Bagaimanapun, ia mengambil masa lebih lama untuk Jennifer Lawrence yang memegang watak Mystique kerana seluruh badannya berwarna biru dan ada perincian tertentu yang harus diambil kira.

“Secara psikologi, Jean dan saya secara realiti mempunyai persamaan. Jean dalam perjalanan kehidupan yang mencari diri sebenar dan berhadapan dengan tekanan kerana dia mutan.

“Ketika remaja, saya berhadapan dengan masalah kulit yang teruk. Saya berasa rendah diri kerana berang­gapan semua orang jijik dengan jerawat batu di wajah saya. Saya terpaksa mencari kekuatan untuk pergi ke tempat awam,” katanya.

Enam musim berganding dengan Maisie Williams menerusi siri Game Of Thrones, Sophie akui mereka rapat dan bersahabat baik. Apatah lagi hanya mereka berdua pelakon yang masih muda berada di lokasi penggambaran.

Katanya, ada beberapa isyarat tangan yang hanya mereka berdua yang faham. Apabila mereka menggaru dagu, itu bermakna ada perkara yang kelakar tetapi mereka menahan keinginan ketawa.

“Saya dan Maisie sahabat baik. Ada perkara tertentu yang kami lakukan tidak difahami orang lain. Isyarat itu hanya kami berdua yang tahu. Menjadi pelakon termuda dalam penggambaran membuatkan kami sangat rapat.

“Apabila saya menjalani penggambaran Game Of Thrones tanpa Maisie, saya akan bertukar menjadi pendiam dan hanya melakukan hal sendiri. Namun bila Maisie turut berada di lokasi, kami menjadi seperti kanak-kanak nakal yang mengusik semua orang,” katanya.

Hubungan mereka tidak hanya setakat di lokasi penggambaran. Ada kala Maisie akan datang menginap beberapa hari di kediaman Sophie dan sebaliknya. Mereka juga akan meluangkan masa minum kopi bersama.

Selain Game Of Thrones dan X-Men: Apocalypse, filem lain lakonan Sophie yang bakal ditayangkan tahun ini ialah Mary Shelley’s Monster. Sophie memegang watak utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:02 AM