Kereta Nissan Navara yang terbaru. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Kereta Nissan Navara yang terbaru. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Lizam Ridzuan


Shah Alam: Edaran Tan Chong Motor (ETCM), pemasang dan pengedar utama kenderaan jenama Nissan di negara ini melancarkan model trak pikap Navara Baharu.

Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Christopher Tan berkata, enam varian ditawarkan kepada pengguna terdiri daripada 2.5L Singe Cab Manual, SE Manual, SE Auto, V Auto, VL Auto dan PRO-4X Auto yang juga model tertinggi.

"Sejak diperkenalkan pada Mac lalu, sambutan diterima amat menggalakkan yang mana kami menerima lebih 2,000 pendaftaran pelanggan yang berminat untuk mengetahui lebih dekat model terbaharu ini," katanya pada majlis pelancaran hari ini.

Pertama kali ditawarkan ialah varian Navara PRO-4X Auto yang menawarkan rekaan lebih ranggi terutama gril hadapan 'Interlock' hitam dengan ruang dalaman dan suspensi ciri terbaharu dipertingkatkan dan semua model adalah import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Navara Baharu dengan enjin 2.5 liter turbo-diesel melalui dua pilihan kuasa iaitu 190PS dan 450Nm atau 163PS dan 403Nm untuk varian Single Cab Manual dan SE Manual.

"Kami juga positif trend penggunaan kenderaan trak pikap juga semakin berkembang terutama ketika musim pandemik yang digunakan sebagai alternatif dalam perniagaan untuk menjana pendapatan tambahan.

"Kami jangkakan dua varian teratas iaitu PRO-4X Auto dan VL Auto bakal menyumbang 50 peratus jualan trak pikap jenama Nissan di negara ini," katanya.

Nissan Navara baharu ini dijual pada harga bermula RM91,900 hingga RM142,200 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 150,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 1:18 PM