Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Usaha mencari dan menyelamat 12 warga tempatan termasuk 10 kaki pancing digerakkan pihak berkuasa selepas mereka yang keluar pada Selasa lalu di sekitar perairan Pulau Aur, Mersing, Johor, sehingga kini masih belum pulang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata laporan kehilangan mereka dibuat oleh pemilik bot itu kira-kira 6.30 petang semalam selepas bot itu gagal dihubungi.

Menurut Rahmat, mereka sepatutnya pulang dua hari lalu dengan kedudukan terakhir bot nelayan yang dinaiki berada empat batu nautika dari Pulau Jemaja, Indonesia.

"Operasi mencari dan menyelamat kini digerakkan membabitkan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di sini, Pegawai Operasi APMM Daerah Maritim 7 Leftenan Maritim Khairol Azwan Kasim berkata pencarian pihaknya kini tertumpu di kawasan Pulau Aur membabitkan sebuah kapal dan bot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 4:59 PM