APMM melakukan pelayaran ihsan membawa ibu mengandung dari Pulau Aur ke Mersing. FOTO Ihsan APMM
APMM melakukan pelayaran ihsan membawa ibu mengandung dari Pulau Aur ke Mersing. FOTO Ihsan APMM
Ibrahim Isa


BUKAN saja membanteras penyeludupan dan jenayah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut melakukan pelayaran ihsan bagi membawa ibu mengandung tujuh bulan dari Pulau Aur ke Mersing selepas wanita itu mengalami pendarahan, tengah hari tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 pagi sebelum bot Penggalang 43 dikejarkan ke Pulau Aur untuk membawa wanita itu ke darat.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sebuah aset yang melakukan Ops Jaksa diaturgerak untuk membawa wanita hamil berkenaan ke Mersing secepat mungkin.

“Apabila tiba pada 12.45 tengah hari, kami membawa jururawat Klinik Kesihatan Pulau Aur, Faridah Abdullah, 34, yang mengandung tujuh bulan ditemani suaminya dan diiringi seorang doktor serta dua kakitangan Klinik Kesihatan Daerah Mersing dari Pulau Aur ke Mersing.

“Faridah yang mengalami pendarahan dikejarkan ke Hospital Mersing untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, difahamkan Faridah dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:04 PM