NELAYAN Indonesia yang diselamatkan. FOTO Rosli Ilham
NELAYAN Indonesia yang diselamatkan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Tiga nelayan Indonesia diselamatkan di perairan Pulau Tenggol, di sini, semalam selepas bot mereka hanyut sejak seminggu lalu kerana mengalami kerosakan enjin.

Nelayan terbabit, Yahana Aris, 47; Radifa Fabrian, 17; dan Jairianto, 53, ditemui 6.30 petang kira-kira 80 batu nautika dari Kuala Dungun.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Ali berkata, mereka sebelum ini dikatakan menangkap ikan berhampiran Pulau Natuna dan Pelau Jemaja, Indonesia.

Menurutnya, bot mereka kemudiannya mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan ke perairan Terengganu.

"Mereka bernasib baik apabila nelayan tempatan menemuinya sebelum memaklumkan kepada kami.

"Bot nelayan asing itu kemudiannya ditunda ke Jeti APMM Kemaman dan kami sudah memaklumkan kepada Kedutaan Indonesia mengenainya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 3:52 PM