Lima bulan satu tempoh yang lama dalam bola sepak. Awal Julai lalu, Marouane Fellaini bagaikan halimunan dalam skuad baru Manchester United kendalian Louis van Gaal ketika mereka menjelajah Amerika Syarikat, meskipun dia tidak pernah menunjukkan tanda mengalah.

Namanya sering kedengaran di sidang media tetapi dia bagaikan tidak penting kepada pengurus itu, sama seperti Javier Hernandez dan Wilfried Zaha.

Malah dia dikatakan perlu berdiam diri daripada memperkatakan betapa penting perpindahannya dari Everton ke Old Trafford.

Sewaktu Napoli yang dikendalikan Rafael Benitez berhasrat mahu meminjamnya, mereka melihat pemain Belgium itu dalam keadaan tidak bermotivasi, tidak puas hati dan hanya menyerah kepada takdir.

Mereka hanya melihat seorang yang sanggup melakukan apa saja untuk melihat impiannya menjadi nyata di United.

"Jika Van Gaal berkata beliau tidak mahukannya, dia akan pergi. Jika tidak, nampaknya tiada harapan," kata wakil Napoli ketika itu.

Sumbangan Fellaini dalam kemenangan 2-1 ke atas Stoke, Selasa lalu yang juga gol pertamanya di Old Traf­ford, membayangkan takdirnya sudah berubah.

Dia memenuhi satu kriteria diingini Van Gaal terhadap pemainnya iaitu pemain serba boleh. Dia kembali me­ngukuhkan benteng yang sebelum ini goyah dan memberi ancaman kepada lawan di kawasan penalti mereka.

"Di liga ini, dia juga antara yang hebat melakukan lompatan," kata rakan sepasukannya, Juan Mata.

"Dia boleh menjaringkan gol seperti ketika menentang Stoke dengan meluru dari barisan kedua dan membuktikan kepentingannya dalam pasukan.

"Saya gembira dengan pencapaiannya kerana dia menempuhi detik sukar pada permulaannya, namun dia seorang yang profesional. Dia se­orang yang baik. Saya bangga dengannya."

Permulaan yang sukar itu termasuklah kekalahan memalukan kepada bekas kelabnya Everton di laman sendiri, genap setahun lalu apabila Fellaini dan Ryan Giggs 'dibuli' pemain tengah Roberto Martinez yang lebih muda.

Ia berterusan apabila dia kembali ke Old Trafford musim panas lalu. Setiap sentuhannya disambut dengan ejekan sebaik diturunkan sebagai pemain gantian ketika perlawanan persahabatan menentang Valencia. Jaringan saat akhir dilakukannya hanya diang­gap sebagai nasib.

Selepas menempuhi pengalaman seperti itu, dia mula membina keyakinan diri seperti ditunjukkan di Old Trafford malam Selasa lalu.

"Ya, secara ber­ansur-ans­ur," ka­ta­nya ketika men­­­­jelaskan Old Traf­ford kini kembali men­jadi tempat meng­ge­run­­kan bagi pasukan pelawat.

"Kami perlu teruskan seperti itu, bi­la pasukan lawan datang ke Old Trafford, sukar bagi mereka menewaskan kami."

Biarpun dalam kalangan pemain United berpendapat, tidak mustahil un­tuk menduduki tangga kedua musim ini, Fellaini berpendapat, Chelsea tidak mustahil dipintas.

"Kami menunggu kesilapan, tetapi perlu melihat kepada diri sendiri. Kami mendekati perlawanan demi perlawanan dan lihat apa akan berlaku. Selepas Hari Boxing, terdapat banyak pasukan hebat.

"Southampton juga di kedudukan lebih baik daripada kami dan kita akan lihat kemampuan kami selepas menentang mereka Isnin ini."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM