Dr Anjli Doshi-GandhiTimbalan Ketua Pengarah (Dasar) dan Lembaga Penduduk dan Perancang Keluarga Negara (LPPKN)

Sebagai ibu bapa, anda perlu menyokong anak ke arah kerjaya pilihan mereka. Anak memerlukan anda untuk memberi nasihat dan bimbingan, jadi anda perlu melengkapkan diri dengan seberapa banyak maklumat mengenai pelbagai kerjaya.

Apa itu kerjaya? Kerjaya ialah kemajuan dan tindakan yang diambil oleh seseorang sepanjang hayat mereka terutama dalam perkara yang berkait dengan kerjanya. Kerjaya biasanya terdiri daripada tugas disandang, gelaran diperoleh dan hasil yang dicapai dalam tempoh yang panjang.

Mengikut tradisi, ia bermakna pekerja yang kekal dalam satu pekerjaan sepanjang kerjayanya. Namun, hari ini, ada peningkatan trend apabila pekerja kerap bertukar pekerjaan namun masih berkecimpung dalam satu bidang (contohnya seorang peguam boleh bekerja di beberapa firma dan dalam beberapa bidang undang-undang sepanjang hayatnya) ataupun dalam bidang lain.

Kita perlu mendedahkan anak kepada kemungkinan kerjaya dan potensi yang ada di dalam dan luar pengalaman kita sendiri. Antara perkara yang anda boleh lakukan ialah:

1. Galakkan anak anda berbincang secara proaktif dengan ahli keluarga yang mempunyai latar belakang kerjaya berlainan. Inilah peluang mereka bertanya mengenai pilihan kerjaya dan cara mencapainya. Mulakan dengan kerjaya anda dahulu!

2. Membuat lawatan bersama keluarga ke tempat kerja dan perniagaan lain boleh memberi gambaran kepada anak anda mengenai sesuatu pekerjaan. Bagi orang muda dan remaja, pesta kerjaya tempat yang sesuai untuk mendapatkan maklumat atau mempelajari sesuatu kerjaya.

3. Menyertai kelab kerjaya di sekolah mereka atau pertubuhan bukan kerajaan boleh membantu menghubungkan anak kepada lawatan berfokuskan kerjaya, penceramah jemputan dan aktiviti sukarela yang boleh membina kemahiran pekerjaan.

4. Aktiviti main peranan boleh membantu mendorong minat anak anda. Ia boleh dilakukan di rumah bersama keluarga menggunakan alatan lakonan. Ia juga cara yang baik untuk meluangkan masa berkualiti bersama. Anda juga boleh melawat pusat hiburan keluarga yang menyediakan aktiviti hiburan pendidikan mengenai kerjaya yang menarik dan interaktif.

Pentingnya sikap anda

Ibu bapa juga mempengaruhi pengetahuan anak mengenai pekerjaan yang berlainan, kepercayaan dan sikap mereka mengenai bekerja dan dorongan yang mereka ada untuk berjaya. Kebanyakannya dipelajari tanpa disedari kanak-kanak dan remaja menyerap sikap dan harapan ibu bapa apabila meningkat dewasa.

Oleh yang demikian, anda harus:

• Menetapkan harapan yang realistik berdasarkan kekuatan anak. Inilah kunci membina keyakinan dan penting bagi kejayaan jangka masa panjang.

• Menjadi teladan yang baik (iaitu etika bekerja dan tingkah laku yang boleh dicontohi).

• Menyediakan peluang mencukupi untuk anak mempelajari dan mengembangkan minat dengan memberi perhatian kepada personaliti dan kekuatan mereka.

• Mengamalkan hubungan antara ibu bapa dan anak yang saling mempercayai, menyayangi dan menyokong.

• Membuka semua saluran komunikasi.

Elakkan daripada:

• Terlalu terbabit dan membuat semua keputusan bagi pihak mereka.

• Mengambil mudah mengenai pilihan mereka atau memperkecil-kecilkannya.

• Terlalu banyak berfikir, ia akan menyebabkan tekanan.

• Memaksa anak memilih kerjaya yang tidak diminati.

Tingkatkan kemahiran anak

Orang muda memerlukan kemahiran (kerja dan kehidupan), pengetahuan dan kebolehan untuk mengharungi hidup. Mereka juga perlu belajar menerima hakikat dan maju ke hadapan jika kerjaya pilihan tidak mengikut laluan yang dikehendaki. Anda perlu membantu mengembangkan kemahiran yang anak perlukan agar selari dengan kerjaya pilihan mereka.

Pengalaman yang berlainan sepanjang hayat, terbabit dalam aktiviti baru dan mencabar (pendidikan formal dan tidak formal) selain sekali sekala membabitkan diri dengan rangkaian kenalan baru dapat membantu anak mengembangkan kemahirannya.

Antara kemahiran berkenaan ialah perhubungan manusia, tingkah laku, komunikasi, komputer, menyelesaikan konflik, pengurusan maklumat, bahasa, kepimpinan, membuat keputusan, pengurusan kewangan, menyelesaikan masalah, kecerdasan emosi dan vokasional.

Kecenderungan anak anda mungkin berubah apabila mereka meningkat dewasa. Jangan kecewa sekiranya minat awal mereka berubah, teruskan usaha untuk memupuk minat anak anda.

Elakkan daripada bertindak negatif terhadap pilihan kerjaya anak. I a boleh menghalang seluruh proses pencarian. Kerjaya yang agak berbeza juga boleh menjanjikan kejayaan seperti kerjaya yang biasa.

Akhir sekali, ibu bapa perlu sedar mereka berperanan sebagai pemudah cara dalam perjalanan kerjaya anak. Berikan kebebasan kepada anak membuat pilihan kerjaya sendiri. Kerjaya sesuatu yang unik bagi setiap orang. Apa yang penting, anda harus membantu mereka mengetahui sebanyak mungkin mengenai kepelbagaian pilihan kerjaya yang ada.

** Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Artikel ini juga disokong oleh geran pendidikan daripada KidZania Kuala Lumpur. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:13 PM