HALL (kiri) dan Ridsdel dilihat dalam satu rakaman video yang disiarkan oleh kumpulan Abu Sayyaf.
HALL (kiri) dan Ridsdel dilihat dalam satu rakaman video yang disiarkan oleh kumpulan Abu Sayyaf.
AFP

Manila: Kumpulan militan yang menculik dua warga Kanada dan seorang warga Norway di kawasan hutan di selatan Filipina menuntut tebusan berjumlah puluhan juta dolar.

Dalam satu rakaman video yang disiarkan kumpulan berkenaan di Facebook semalam, mereka memberi tempoh selama sebulan untuk membayar wang berkenaan atau semua tebusan itu akan dibunuh.

Pelancong Kanada, John Ridsdel dan Robert Hall, pengurus resort Norway, Kjartan Sekkingstad serta pekerja Filipina, Marites Flor diculik dari kapal layar di sebuah marina di selatan Filipina pada September tahun lalu.

Militan itu sebelum ini menuntut wang tebusan berjumlah AS$21 juta (RM85.93 juta) untuk tiga warga asing berkenaan tanpa menyatakan syarat pembebasan Flor.

Hall dalam video itu memberitahu, mereka ditahan oleh anggota Abu Sayyaf, kumpulan yang terkenal dengan aktiviti menculik untuk mendapatkan tebusan.

Katanya, mereka ditahan di satu kawasan hutan di Sulu, sebuah pulau terpencil yang menjadi lokasi persembunyian Abu Sayyaf.

Kerajaan Filipina mengamalkan dasar tidak membayar wang tebusan tetapi pihak atau negara mangsa culik sering membayar wang untuk membebaskan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 7:13 AM