Shuhada Mansor


Dua hal berbeza yang membanjiri media sosial dan mendapat reaksi netizen sepanjang minggu ini

Produk kurus tak berkesan

Mungkin ramai yang sudah melihat video seorang gadis yang berang dengan produk kurus didakwa tidak berkesan. Akibat bengang, gadis yang menggunakan nama Bella Nabela di Facebook itu menarik perhatian netizen dengan memuat naik video tanda tidak puas hatinya.

Video dirakam di depan balai polis itu dipercayai dirakam sejurus dia selesai membuat laporan polis. Video yang dimuat naik itu sudah ditonton lebih sejuta netizen.

Difahamkan, laporan polis dibuat terhadap produk kurus itu atas alasan tidak mempunyai rasa panas ketika dipakai dan mendakwa ia tidak mampu membakar lemak di badannya.

Sehingga kini, lebih 19,000 pengguna Facebook dicatat masih ‘bersuara’ mengenai video ini dengan jumlah tag semakin meningkat. Video yang dikongsi turut ditonton lebih 1.6 juta netizen. Bukan itu saja, Facebook Fans Bella Nabela turut diwujudkan oleh netizen.

Ahad lalu, Bella memuat naik video permohonan maaf secara terbuka yang dikongsi di Facebook­nya.

Fenomena isu ini masih panas sehingga ke hari ini.

Dua juta penonton kurang sebulan

Sekiranya anda bukan peminat aplikasi karaoke Smule, pasti anda tidak tahu siapa Khai Bahar. Namun, bagi netizen yang sukakan hiburan dan paling tidak video trending ini dikongsi di Facebook, pasti anda tahu mengenai video ini.

Dalam puluhan ribu video Smule yang dimuat naik, Khai Bahar antara yang menjadi bualan netizen. Bukan hanya ‘syok sendiri’, dia juga berduet dengan penyanyi popular, Siti Nordiana.

Video yang mengangkat namanya di YouTube adalah lagu Memori Berkasih, berduet dengan penyanyi popular itu yang sudah ditonton lebih dua juta orang dalam masa kurang sebulan.

Dia juga pernah menjadi tetamu jemputan di slot Johara Pagi Era (Era fm) dan Geng Pagi Hot (Hot FM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:16 AM