Fatin Husna. FOTO AZIAH AZMEE
Fatin Husna. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


RAKAN duet Khai Bahar, penyanyi Fatin Husna, 23, akui dia pernah rasa terkilan apabila penampilan dirinya sering menjadi kecaman netizen.

Fatin yang berduet dengan Khai menerusi single Rahsia Kita, berkata dia sedar kekurangan diri dari aspek raut wajah dan penampilan.

“Sebagai manusia biasa, saya memang sedihlah apabila dikecam kerana kurang cantik dan penampilan yang biasa.

“Saya tahu sebagai selebriti yang menceburi karier seni, tidak sekadar dinilai daripada bakat semata-mata.

“Faktor kecantikan diri dan penampilan juga menjadi perhatian umpama kena sempurna dari kepala hingga ke kaki,” katanya.

Pemilik nama sebenar Fatin Husna Ibrahim ini memberitahu apa yang dilalui itu membuatkan dia kurang keyakinan diri.

“Namun, sekarang saya lebih selesa biarkan saja apa orang nak kata termasuk abaikan kecaman netizen.

“Suka hatilah nak cakap dan kecam apa, bagi saya tak payah fikir sangat kerana lebih baik positif.

“Lagi pun, masih ramai juga yang menyokong serta menerima pembabitan saya dalam karier nyanyian ini,” katanya.

Ujar Fatin, kini dia juga nekad mengubah penampilan diri terutama teliti dalam pemilihan pakaian digayakan.

Bakat nyanyian Fatin dikesan pada 2016 menerusi aplikasi Smule dan kini sudah memiliki tiga single.

Baru-baru ini, Fatin juga berjaya membolosi 'Top 5' kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

Kata Fatin, dia berterima kasih kepada peminat yang sudi mengundi dan menyokong karier nyanyiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 3:31 PM