Khai tidak berniat menghina penduduk Sarawak. FOTO NSTP
Khai tidak berniat menghina penduduk Sarawak. FOTO NSTP
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Akibat terlepas cakap mengatakan tidak ada apa-apa di Sarawak ketika ditemubual dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) semalam, penyanyi sensasi Smule, Khai Bahar dikecam pengguna Internet terutama penduduk Sarawak yang mendakwa dia menghina negeri itu.

Dalam sedutan video berkenaan, Khai menjawab sebegitu apabila ditanya kenapa dia suka ke Sarawak oleh dua pengacara program berkenaan.

Difahamkan, Khai bermaksud dia suka ke Sarawak kerana suasananya boleh menenangkan fikiran namun disalah-erti segelintir pihak apabila dia mendakwa tidak ada apa-apa yang menarik di negeri itu.

Berikutan itu, sedutan video itu mula viral di Facebook hari ini dan turut mendapat lebih 1,000 perkongsian selain pelbagai kecaman menerusi ruangan komen.

Khai menerusi laman Instagramnya berkata, dia tidak berniat langsung untuk menghina penduduk Sarawak dan meminta maaf kerana tersasul.

€œSaya minta maaf kepada semua penduduk Sarawak. Saya sayang Sarawak dan tidak ada niat langsung untuk merendah-rendahkan negeri itu. Lagipun saya pernah menetap di sana agak lama.

“Saya bukan nak pertahankan diri. Ia memang salah saya kerana tersasul, cuma sedih apabila orang cakap saya menghina orang Sarawak, katanya.

Khai berkata, dia juga terkilan kerana pihak yang memuat naik video berkenaan tidak memuat naik keseluruhan video hingga ia membawa maksud yang lain.

Penyanyi ini mula dikenali selepas nyanyiannya menerusi lagu Sudah Ku Tahu daripada Projector Band di aplikasi Smule menjadi viral.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:40 PM