AFP

Assen, Belanda: Penunggang bukan pilihan Jack Miller (gambar) memenangi perlumbaan MotoGP Assen yang terganggu kerana cuaca semalam sekali gus menyaksikan pemenang tempat kedua Marc Marquez mengukuhkan cengkamannya sebagai pendahulu kejuaraan selepas pencabarnya gagal dalam cuaca basah.

Pelumba Australia berusia 21 tahun itu, yang menunggang Honda Marc VDS, berakhir di depan Marquez (Honda) dan pelumba Britain Scott Redding (Ducati Pramac) bagi kejayaan sulungnya dalam kategori elit sukan motosikal itu.

Perlumbaan bermula dalam cuaca panas namun hujan lebat mula turun dan dengan berbaki 12 pusingan, perlumbaan di litar Assen itu ditangguhkan dengan bendera merah.

Ketika itu pelumba Itali Andrea Dovizioso (Ducati), Danilo Petrucci (Ducati Pramac) dan Valentino Rossi (Yamaha) sedang mendahului.

Selepas perlumbaan bersambung pelumba elit bergelut dan kebanyakannya terbabas dalam cuaca sukar.

“Saya tidak tahu apa rasanya ketika ini,” kata Miller, yang disenaraikan sebagai pilihan 750/1 sebelum perlumbaan.

“Ramai orang... menyatakan projek ini tidak akan menjadi dan saya hanya berharap saya sudah melenyapkan kritikan mereka dan membuktikan saya mampu menunggang.”

Marquez terus mendahului di depan rakan senegaranya dari Sepanyol Jorge Lorenzo dengan perbezaan 24 mata.

“Perlumbaan hari ini memang mampu menyebabkan anda tercicir mata,” katanya.

“Saya bertenang dan fokus sepanjang perlumbaan. Saya hanya melakukan tunggangan biasa. Saya lihat Valentino cuba memecut dan saya berkata, ‘OK, saya tidak boleh mengejarnya’.

“Apabila saya lihat dia terbabas dan saya lihat Miller di belakang dan kemudian dia memintas saya, saya hanya berkata, ‘OK!’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 9:00 AM