Che Wan Sofiatul Shima Wan Chik (Yang mengikuti rombongan Universal Music ke Bali dan Indonesia baru-baru ini)

Penyatuan dalam bermuzik memang sentiasa mewujudkan rasa yang hebat dan magis. Apabila harmoninya jiwa dan santunan bait-bait kata dilafazkan dalam nada berbeza, ia tetap sampai ke telinga dan hati pendengar seperti ejen yang cukup halus misinya.

Itu yang dirasakan sepanjang Konsert Bangkit! Untuk Satu yang berlangsung di tanah Dewata, awal bulan lalu. Garuda Wisnu Kencana menyaksikan energi dan sinergi dalam banyak perbezaan tetapi beraras satu nada.

Menariknya lagi mengenai konsert ini adalah kerendahan jiwa seorang legenda bernama Iwan Fals. Tidak hanya satu pentas bersama anak muda seperti Geisha, Noah, D’Masiv dan Nidji malah dia bersatu dalam lagu baru dan lama.

Iwan Fals, 54, bersatu dengan nama sedang naik untuk menyampaikan mesej buat pendengar terutama peminatnya.

Bukan hanya alunan lagu malah mereka menanam 27 pokok sepanjang rangka jelajah konsert ini yang dilakukan di empat lokasi terdahulu.

Pelbagai pokok disebut sebagai pelangi itu diharapkan mampu menjadi hutan oksigen untuk kehidupan masa depan.

Kata Iwan, semakin hari keadaan alam semakin terancam. Kalau kita tidak berbuat seperti itu, rasanya sangat berdosa.

Terus-terusan menumpahkan inspirasi buat khalayak, Iwan Fals sempat memberi pesan lewat kata-kata sebelum menyanyikan lagu Pelangi nukilannya.

“Semoga pelangi dapat menginspirasi bangsa ini, bagi kita semua, umat manusia, untuk terinspirasi belajar mengenai keindahan perbezaan seperti warna pelangi,” katanya.

Konsert atas nama album itu dimulakan dengan lagu popular Iwan Fals, Belum Ada Judul. Ini diikuti dengan Bangunlah Putra Putri Pertiwi, Alam Malam, Tanam Siram Tanam dan Pelangi.

Noah muncul bersahaja, namun mengesankan dengan membawa lagu Ibu, Separuh Aku, Langit Tak Mendengar, Para Penerka dan Yang Terlupakan.

Kumpulan Geisha yang mempertaruhkan satu-satunya vokalis bunga antara kelompok kumbang Bangkit! Untuk Satu, muncul dengan lagu Buku Ini Aku Pinjam, Cukup Tak Lagi, Tak Seimbang dan Izinkan Aku Menyayangimu.

Kemeriahan dan semangat pengunjung Garuda Wisnu Kencana dibangkitkan lagi dengan kemunculan grup D’Masiv yang kini terkenal di Malaysia dengan lagu runut bunyi untuk Filem Boboi Boy.

Vokalisnya, Rian menyalakan api yang dilambai-lambai di tangannya dan gimik seterusnya setiap ahli grup mendendangkan melodi dengan genderang.

Energetik dan semangat Iwan Fals

Tidak setakat persembahan solo, mereka juga bergabung di pentas. Apabila Nidji dan Iwan Fals bersatu di pentas, jelas dapat dirasakan energetik dan semangat Iwan Fals. Mereka membawakan lagu Bangkit, Guru Oemar Bakrie, Hidup Yang Hebat dan Pesawat Tempur.

Kemesraan adalah lagu yang menggabungkan setiap jiwa yang beraksi di pentas Bali kali ini. Kelihatan kemesraan dan tenaga mereka bersatu dalam melodi dan bait-bait lagu. Sebuah gabungan lama dan baru dalam satu nada.

Satu hal yang dipelajari melalui konsert yang wujud melalui album Bangkit! Untuk Satu yang akan dipasarkan di Malaysia pada 13 Mei ini ialah persamaan anak grup ini dalam menyampaikan mesej demi mesej buat khalayak.

Mereka meletakkan ego dan antusias mereka pada satu fasa. Iwan Fals walau satu nama legenda yang sudah lama dalam industri, tidak segan bersatu dengan anak muda hijau dalam menyemarakkan industri muzik.

Mereka tidak sahaja membuat susunan baru dalam lagu lama Iwan Fals, malah menghasilkan lagu baru bersama-sama untuk terus menghidupkan industri seni.

Untuk terus hidup dalam industri muzik, kita belajar bahawa pemuzik harus terus dan terus berkarya, tidak hanya hidup dengan nostalgia.

Malah penghasilan lagu baharu seperti Hidup Yang Hebat, Para Penerka, Tak Seimbang dan Satu-Satunya membuktikan bahawa idea dan kreativiti orang lama dan baru mampu memberi satu nafas baru dalam industri muzik Nusantara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:03 AM