D’MASIV miliki rekod bersih.
D’MASIV miliki rekod bersih.
Oleh Syafil Syazwan Jefri (Yang menemu bual D’Masiv di JakartaIndonesia dan baru-baru ini.)


Kumpulan D’Masiv dari Indonesia bangga apabila single terbaru mereka berjudul Di Bawah Langit Yang Sama dipilih sebagai satu daripada lagu runut bunyi untuk filem animasi Boboiboy The Movie yang dilancarkan pada 2 Februari lalu.

D’Masiv yang dianggotai Rian (penyanyi), Kiki (gitar), Rama (gitar), Rai (bass) dan Wahyu (dram) yang ditemui di Jakarta, baru-baru ini, berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada filem animasi itu yang cukup popular di Indonesia selepas Upin & Ipin.

Rian berkata, Di Bawah Langit Yang Sama ialah lagu yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

D’Masiv sebelum ini terkenal di negara ini menerusi lagu Cinta Ini Membunuhku.

Ditanya mengenai pembabitan awal mereka dalam menghasilkan lagu Di Bawah Langit Yang Sama, D’Masiv meluahkan rasa terima kasih kepada pihak Animonsta Studios yang melihat bakat dan latar belakang kumpulan ini.

“Pihak Animonsta mahukan sebuah band yang bersih daripada sebarang kontroversi. Memandang­kan D’Masiv tidak pernah ada rekod buruk, kami dipilih untuk menjadi salah satu band selain Bunkface dari Malaysia.

“Tambahan pula, saya sendiri adalah Duta Anti Kekerasan Terhadap Anak-anak di Indonesia sejak 2014. Jadi, bertepatan dengan program animasi kanak-kanak dan menyasarkan lagu berkonsepkan kedamaian, D’Masiv dipilih,” kata Rian.

Jika sebelum ini D’Masiv lebih selesa membawakan lagu ciptaan mereka sendiri, namun kali ini mengakui mencuba membawakan lagu ciptaan komposer lain.

“Di Bawah Langit Yang Sama adalah lagu ciptaan komposer Ihsan Skuter. Tidak menjadi masalah buat kami kerana ketika pertama kali diperdengarkan lagu itu, apa yang jelas, notasi dan melodinya sangat kedengaran seperti muzik kami yang lain,” katanya.

Bakal tampil album kelima

Tidak hanya terhenti sekadar dalam filem, lagu Di Bawah Langit Yang Sama turut dimuatkan dalam album kelima mereka.

“Album kelima ini diberi judul D’Masiv kerana kami ingin memberitahu dunia bahawa ini kami. Lagu Di Bawah Langit Yang Sama akan turut dimuatkan dalam album ini.

“Selain itu, ada sembilan lagi lagu lain yang turut dimuatkan dalam album ini. Temanya kami fokuskan kepada semangat. Ada juga sebuah lagi lagu runut bunyi untuk filem karya Raditya Dika berjudul Single,” katanya.

Ditanya mengenai keunikan album kelima yang khabarnya akan dilancarkan pada bulan ini D’Masiv punya jawapan tersendiri.

“Memang ada perbezaan dengan album sebelum ini. Kali ini, lagu-lagunya punya mesej positif yang lebih jelas kepada pendengar.

“Selain itu, lebih istimewa kami selitkan beberapa elemen muzik orkestra supaya tampil lebih ‘grand’, sesuai dengan usia kami dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 8:59 AM