SEGENAP sudut taman Inggeris ini tetap menarik perhatian.
SEGENAP sudut taman Inggeris ini tetap menarik perhatian.
TERBENTANG hijau sawah padi.
TERBENTANG hijau sawah padi.
BONGKAH kayu ditanam pokok hijau dan aksesori hiasan taman membangkitkan suasana berbeza.
BONGKAH kayu ditanam pokok hijau dan aksesori hiasan taman membangkitkan suasana berbeza.
AZIZ dan Rosidah saling bertukar idea setiap kali menata hias taman.
AZIZ dan Rosidah saling bertukar idea setiap kali menata hias taman.
ELEMEN air mengimbangi pemandangan santai.
ELEMEN air mengimbangi pemandangan santai.
PASU unik dengan dekoratif lengkap bersama ornamen burung.
PASU unik dengan dekoratif lengkap bersama ornamen burung.
SEGENAP sudut taman Inggeris ini tetap menarik perhatian.
SEGENAP sudut taman Inggeris ini tetap menarik perhatian.
Hartini Mohd Nawi


Panorama hijau sawah padi yang terbentang luas di depan mata sepanjang laluan menuju ke kediaman pasangan ini sukar untuk dinafikan keindahannya.

Bayangkan anda berada di tengah bendang dengan padi menguning dan separuh masak yang tentunya membuatkan kesibukan kota dilupakan seketika.

Nyata ia pemandangan semula jadi yang semestinya menjadi terapi mata dan cukup mendamaikan.

Saat tiba di kediaman Aziz Alang, 63, dan Rosidah Md Hussin, 56,perasaan lebih teruja sebaik melihat latar taman Inggeris yang dikreatifkan dengan pelbagai idea menarik.

Suasana hijau di luar bagaikan begitu unik apabila menjejakkan kaki dalam aura bunga-bungaan segar bersama ornamen menarik pelengkap taman.

Sebuah buaian berkerawang putih yang diletakkan bersebelahan gazebo menguatkan lagi andaian penulis bahawa pemilik kediaman ini benar-benar meminati gaya Inggeris.

Peramah dan cukup menghargai kunjungan kami membuatkan sesi temu bual berjalan dalam suasana santai berlatarkan taman Inggeris itu.

“Sebenarnya tidak ada tema khusus bagi kami apabila ramai bertanyakan berkenaan taman ini.

“Paling jelas kami begitu meminati bunga-bungaan segar dan hiasan taman yang begitu dekat dengan gaya Inggeris.

“Susun letak dan perancangan taman yang mirip gaya Inggeris ini dirancang rapi supaya tidak terlalu sesak hingga hilang keindahannya,” kata Rosidah yang mendiami rumah itu selepas berkahwin dengan Aziz sejak 36 tahun lalu.

Aziz yang juga ramah tidak segan mengakui bahawa dia sendiri sentiasa teruja dengan idea taman yang diilhamkan isterinya.

Beliau membantu isterinya sebaik mungkin dalam menzahirkan gaya Inggeris itu dengan mendapatkan pelbagai bunga segar atau hiasan di merata tempat.

“Ada aksesori taman yang diwarnakan putih begitu juga dengan barangan terbuang seperti tayar dicat dengan warna-warna ceria.

“Pendek kata, semua menceritakan berkenaan keunikan taman selesa untuk bersantai setiap petang,” kata Aziz.

Pada segenap ruang yang ada, landskap lembut dan kejur disusun rapi supaya tidak menghalang pergerakan.

“Sekurang-kurangnya tetamu yang mengunjungi Roswella Homestay ini selesa dan tidak janggal,” kata Rosidah.

Rosidah pula banyak menghabiskan masa lapangnya dengan membelai dan ‘bercakap’ dengan bunga-bungaan di taman itu.

“Bagi saya taman ini terapi semula jadi terbaik. Selesa bersantai sambil menyelenggara pokok dan persekitaran taman.

Malah, pasangan itu turut menamakan taman Inggeris berkenaan sebagai Taman Roswella.

Inap desa

Kediaman berlatar taman Inggeris itu turut menawarkan perkhidmatan inap desa buat anda yang gemarkan suasana atau kehidupan kampung.

Dinamakan Roswella Homestay, kedudukannya bersebelahan kediaman utama dengan pelbagai tarikan.

Berada di balkoninya, mata pasti terpukau sebaik menyaksikan saujana indah mata memandang kehijauan sawah padi.

Jika bernasib baik anda berpeluang menyaksikan musim menuai padi dari balkoni itu. Mungkin juga menikmati sajian nasi ambeng.

Berminat sila kunjungi Roswella Homestay di No 66, Jalan Bunga Raya, Kampung Pinang, Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:02 AM