CEREK terpakai dilukis bunga mawar dan menjadi aksesori hiasan taman yang unik.
CEREK terpakai dilukis bunga mawar dan menjadi aksesori hiasan taman yang unik.
ZUNAIDAH begitu mencintai dunia landskap terutama taman ala Inggeris.
ZUNAIDAH begitu mencintai dunia landskap terutama taman ala Inggeris.
Hartini Mohd Nawi


Aura gaya ala Inggeris di kawasan taman bermula dari ruang santai berhampiran pintu masuk kediaman ini yang menzahirkan minat dan kecintaan pemiliknya terhadap seni sinonim bunga-bungaan itu.

Biarpun gaya hiasan di situ agak ringkas, penataannya begitu mesra kanak-kanak dan tetamu.

Bermakna susun letak dan aksesori hiasan yang diketengahkan mudah diselenggara dan dialihkan bergantung kepada keadaan.

Perincian gaya ala Inggeris di ruang itu tambah menarik dengan beberapa hiasan dinding daripada bunga hiasan dalam beg berserta ungkapan kata-kata menarik.

Sebuah sofa, meja kopi dan buaian putih pula beralaskan hamparan tikar.

Uniknya alas sofa, bantal hiasan dan kebanyakan aksesori hiasan itu dihasilkan sendiri pemiliknya Zunaidah Ani, 40.

Teruja dek pertama kali mengunjungi kediaman di Kampung Delek, Klang, Selangor ini menerbitkan rasa kagum di hati penulis betapa kreatifnya tuan rumah.

Pemilihan putih sebagai warna dominan tentunya bukan perkara mudah.

Apatah lagi empat cahaya matanya yang sedang membesar dan paling kecil berusia setahun.

Penulis memilih untuk duduk di atas buaian itu sambil menemu bual Zunaidah.

Banyak juga cerita keindahan landskap kediamannya yang dikongsi.

“Penataan landskap sebegini sebenarnya bermula pada 2014. Sebelum itu, kawasan laman sudah ditanam beberapa pokok, namun tidak ditetapkan gaya tertentu.

“Penyertaan dalam Kelab Ros HoneyBee diasaskan Rohani Bujang juga banyak membantu saya untuk menanam ros dengan kaedah yang betul.

“Seronok rasanya apabila ros yang saya tanam berbunga dan hidup subur,” katanya yang menjadikan kelapangan petang sebagai waktu sesuai berada di taman dek pagi sibuk menguruskan anak.

Sebelum melangkah ke taman, satu lagi sudut santai di ruang luar mencuci pakaian. Di situ sepasang perabot putih ditempatkan dengan aksesori hiasan ringkas ala Inggeris.

Pelbagai bunga-bungaan berbeza jenis nyata menambahkan keceriaan taman.

Kuntuman mekar ros, ros Jepun, kekwa dan bunga kertas antara yang menarik perhatian.

“Perkongsian ilmu tanaman khususnya ros dalam Kelab Ros HoneyBee banyak membantu saya.

“Apabila laman kediaman rakan kelab menarik dan ros mereka subur, ia satu cabaran buat saya untuk turut menampilkan keindahan taman dengan cara tersendiri,” katanya.

Bercerita berkenaan bekas tanaman dan aksesori hiasan di taman itu, Zuraidah berkata semuanya hasil kreativiti sendiri.

“Banyak bahan terpakai dan ada yang saya cat semula supaya ia benar-benar melengkapkan laman desa ala Inggeris ini.

“Papan terpakai ini saya tuliskan ‘My Sweet Home’ dan kereta sorong terpakai diisi pokok bunga kertas. Apabila ia berbunga menjadi jambangan besar yang menarik,” katanya yang gembira apabila penataan taman ala Inggeris itu membantu anaknya untuk lebih dekat dengan alam.

Pada masa sama, suri rumah sepenuh masa itu sangat bersyukur kerana mendapat sokongan moral dari suami tercinta Mohd Suhardi Mohd Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:05 AM