SEKALI imbas, ia bagaikan bunga ros biasa.
SEKALI imbas, ia bagaikan bunga ros biasa.
KINI ada pelbagai jenis ros Jepun.
KINI ada pelbagai jenis ros Jepun.
SESUAI sebagai tanaman tutup bumi.
SESUAI sebagai tanaman tutup bumi.
AURA bunga ros Jepun segar sangat menenangkan.
AURA bunga ros Jepun segar sangat menenangkan.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Bunga ros Jepun pernah mendapat perhatian di Asia Selatan dan muncul antara tanaman hiasan di beberapa bandar yang menampilkan seni bina klasik pada abad ke-18 dan 19 di Balkan, tenggara Eropah.

Kebanyakan negara menamakan bunga ini me­ngikut waktu ia berkembang.

Di Malaysia, bunga ini lebih popular dipanggil sebagai bunga pukul 10, di Bangladesh pula ia dipanggil ‘time fuul’ yang bermaksud bunga masa.

Di India, ia dipanggil ‘nau bajiya’ atau bunga pukul 9 dan begitu juga Vietnam yang menamakan bunga ini bunga pukul 10.

Di negara empat musim biasanya tulip dan hyrangea popular sebagai bunga penting dalam taman gaya Inggeris, namun hakikatnya tidak sama dengan keadaan di negara ini.

Idea mencipta taman Ing­geris sedikit berbeza dari segi pilihan bunga-bungaan kerana persekitaran kita bukan empat musim.

Di situ letaknya kreativiti dan kemampuan anda menyerlahkan kelainan selari dengan konsep taman segar dengan warna-warni kelopak bunga.

Kelainan juga meletakkan bunga ros Jepun antara pilihan utama yang paling tepat kerana ia sesuai dengan cuaca dan persekitaran negara ini.

Biarpun dikatakan berasal dari selatan Brazil yang beriklim panas selain Uruguay dan Argentina Utara, ros Jepun turut ditanam di merata dunia sebagai bunga yang disukai ramai.

Bunga ini boleh dibiakkan menerusi keratan batang dan memerlukan tanah yang bersaliran baik.

Caranya mudah saja kerana anda hanya perlu menanam keratan batang dari pokok induknya ke dalam pasu baru.

Kemudian letakan pasu berkenaan di lokasi yang menerima cahaya matahari yang banyak.

Pastikan ia disiram setiap hari jika inginkan ros Jepun di taman membesar dan menghasilkan bunga tahap optimum.

Elakkan menyiram ketika bunga tengah berkembang mekar kerana ia boleh menyebabkan bunga cepat layu.

Ada kalanya ia mudah diserang serangga perosak termasuk siput babi, bena putih, ulat daun dan belalang.

Antara bunga lain yang sesuai untuk taman Inggeris ialah helicornia, balung ayam, seroja atau bunga kertas dan ros.

Heliconia atau sepit udang adalah genus kira-kira 100 hingga 200 spesies tumbuhan berbunga asal di kawasan beriklim tropika di Afrika dan kepulauan Lautan Pasifik Barat ke Indonesia.

Balung ayam pula dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai balung ayam jantan.

Nama saintifiknya ialah Celosia, tergolong di dalam keluarga Amaranthaceae dan spesies yang banyak ditanam di kawasan Asia berasal dari England.

Ia dibiakkan melalui biji benih yang disemai di kawasan teduh dan dipindahkan apabila tumbuh menjadi anak pokok.

Pada masa sama, kehadiran pepohon hijau tetap menarik jika reka letak­nya menambahkan seri taman.

Tidak salah jika dekoratif bunga plastik atau kering digabungkan bersama bunga segar asalkan taman Inggeris yang anda impikan kelihatan natural dan tidak menyakitkan pandangan mata.

Apatah lagi padanan warna segar bunganya turut menarik dengan penggunaan perabot putih dan rustik.

Perabot seperti bangku panjang dan pintu gerbang berasaskan besi atau kayu putih antara pelengkap dekorasi taman.

Selain itu, penggunaan pagar hiasan putih yang sepadan gaya Inggeris.

Bukan sekadar mencantikkan ruang, malah pagar ini juga boleh digunakan untuk membezakan jenis tanaman di taman me­ngikut kumpulannya.

Sekiranya mempunyai keluasan sesuai, pereka landskap pasti mencadangkan dibina sebuah kolam dengan saiz sederhana bagi melengkapkan ciri-ciri taman Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 10:00 AM