SUASANA malam paling dinantikan.
SUASANA malam paling dinantikan.
Skulptur kereta kuda dilimpahi LED.
Skulptur kereta kuda dilimpahi LED.
ANTARA keceriaan di Swan Lake.
ANTARA keceriaan di Swan Lake.
ECO World Illuminations Flower Show turut melatari sebahagian kediaman eksklusif Eco Majestic.
ECO World Illuminations Flower Show turut melatari sebahagian kediaman eksklusif Eco Majestic.
Hartini Mohd Nawi


Sesiapa saja pasti teruja sebaik menyaksikan hamparan indah bunga-bungaan segar diserikan lampu LED pada segenap penjuru Swan Lake.

Apatah lagi kemeriahan itu sering dinantikan rentetan festival bunga tahun lalu yang berjaya menarik lebih 200,000 pengunjung.

Kali ini Eco World Illuminations Flower Show di Eco Majestic, Semenyih, Selangor itu menjanjikan kelainan tersendiri buat anda seisi keluarga.

Menurut Penolong Pengurus Besar Pelaksanaan Projek Eco Majestic CS Wong, usaha mewujudkan taman yang dipenuhi pelbagai jenis bunga-bungaan segar itu sebagai langkah mendekatkan masyarakat dengan alam.

“Kesinambungan kehidupan semestinya saling memerlukan sebagai terapi semula jadi khususnya manusia dan alam.

“Kunjungan beramai-ramai juga secara tidak langsung menjadi titik pertemuan buat komuniti di sini untuk saling mengenali dan bermuafakat,” katanya yang begitu menghargai sambutan luar biasa itu.

Ketika kunjungan penulis baru-baru ini redup petang dan hujan renyai-renyai sedikit pun tidak menghalang orang ramai membanjiri festival bunga itu.

Pengunjung nyata tidak kisah beratur panjang untuk mendaftar masuk di Eco World Galley sebelum ke Swan Lake bagi menyaksikan Eco World Illuminations Flower Show itu.

Suasana malam juga paling dinantikan saat lampu LED yang terpasang sarat dengan warna-warni.

Hanya perlu berjalan ke Swan Lake, pintu gerbang LED sudah cukup untuk menggambarkan kemeriahan festival itu.

Di depan mata landskap asalnya berlatarkan taman Inggeris dilimpahi keindahan luar biasa hingga menjadi sudut paling sesuai untuk merakam gambar.

Memulakan penerokaan landskap dengan laluan di sebelah kanan, reka letak bas mini lama menjadi penyeri pertama hiasan taman.

Berjalan sedikit mendaki, nyata membenarkan anda untuk melihat secara dekat skulptur kereta kuda LED.

Sudah tentu tema seperti LED Rainforest, LED Music Zone, LED Tulips, Fairy Tale Zone, LED Recycled Bottles: Giant Dandelion, Butterfly Park, Plant Zoo dan Avatar Trees antara yang membuat­kan anda cukup teruja untuk menghabiskan kelapangan waktu di festival itu khususnya hujung minggu.

Lebih 2,800 pokok renek dan bunga seperti marigold, salvia, hydrangea, oxalis, geraniums, silver dust, passionflower, hollyhocks menghiasi Swan Lake ditambah dengan landskap sedia.

Berkeluasan 2.1 hektar, di sepanjang laluan itu pengunjung berpeluang melihat secara dekat reka bentuk kediaman eksklusif Eco Majestic.

Malah anda juga dipelawa untuk singgah dan menikmati pengalaman di beberapa kediaman contoh yang lengkap dengan dekorasi dan landskap, tentunya memenuhi cita rasa anda seisi keluarga.

“Perancangan untuk festival bunga ini disusun rapi dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Pengunjung tidak hanya merasai pengalaman menakjubkan di Eco World Illuminations Flower Show ini, malah mungkin turut teruja singgah di beberapa kediaman contoh,” kata Wong.

Berada di kediaman contoh itu pula membawa anda menikmati suasana kehidupan sebenar Eco Majestic seolah-olah berada dalam landskap dipenuhi dataran bunga-bu­ngaan indah.

Biarpun Eco World Illuminations Flower Show itu dijangka berakhir 23 April ini, landskap semula jadi taman Inggeris di Swan Lake itu tetap menjadi tatapan anda saban waktu.

Pada masa sama festival berkenaan antara sebahagian daripada kempen My Happy Place.

Oleh itu, lapangkan waktu anda mengunjungi festival itu yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik atau layari www.ecoworld.my untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 2:19 AM