LATAR taman Inggeris ilham Suzana dan keluarga.
LATAR taman Inggeris ilham Suzana dan keluarga.
DERETAN replika cendawan diselitkan bersama tanaman hiasan hijau dan berbunga.
DERETAN replika cendawan diselitkan bersama tanaman hiasan hijau dan berbunga.
SUZANA begitu mencintai seni taman Inggeris.
SUZANA begitu mencintai seni taman Inggeris.
PELBAGAI elemen hiasan Inggeris memenuhi ruang dinding beranda.
PELBAGAI elemen hiasan Inggeris memenuhi ruang dinding beranda.
Hartini Mohd Nawi


Wanita ini sedia maklum taman Inggeris begitu popular dan sering kelihatan menghiasi kebanyakan kediaman di negara ini.

Warna-warni bunga-bungaan segar khususnya ros atau ros Jepun yang memenuhi segenap ruang antara tarikan utama konsep taman itu menjadi pilihan ramai.

Namun, Suzana Abu Sari, 43, tidak pernah terfikir untuk mengubah konsep taman berkenaan kerana saban tahun penataan itulah yang mewarnai landskap kediamannya.

Bezanya setiap tahun idea, pemilihan tanaman dan elemen hiasan taman sentiasa bertukar mengikut kesesuaian sebuah kebun Inggeris.

“Begitu juga apabila hampir tiba Aidilfitri, sejak Mei lalu kami seisi keluarga bertungkus-lumus menampilkan kelainan di taman.

“Penataan taman Inggeris ini sering dikemas kini reka letaknya supaya tak jemu dipandang.

“Ia juga bagi membuktikan bahawa kreativiti mampu mencetuskan kelainan biarpun dalam konsep yang sama,” kata–nya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Suzana berkata, bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini suasana taman diberi wajah baru dengan memberi penekanan kepada elemen hiasan ceria termasuk pagar atau kerawang putih dan replika cendawan.

Lebih menyerlahkan kreativiti apabila kebanyakan elemen hiasan itu berasaskan bahan terbuang.

“Ketika petang kami melapangkan masa turun ke taman untuk sama-sama mengecat pagar dalam warna putih, pasu lama dicat baru dan susun atur hiasan pula disesuaikan kedudukannya.

“Semuanya kami lakukan atau hasilkan sendiri, cuma beberapa elemen hiasan yang dibeli bagi melengkapkan suasana ceria di taman,” katanya yang selesa dengan penataan taman Inggeris sejak 2012.

Anak-anak dan suaminya, Nizamuddin Alias, 43, sudah maklum beberapa bulan sebelum tibanya Aidilfitri saban tahun suasana taman diberi wajah baru tapi masih konsep Inggeris.

“Justeru, mereka sudah biasa dan masing-masing bebas memberikan idea untuk latar taman unik ini asalkan sedap mata memandang.

“Sama juga dengan pokok hiasan pilihan, kebanyakan ditanam dalam pasu bagi memudahkan proses penyelenggaraan termasuk penyiraman dan pembajaan,” katanya.

Malah, beliau sanggup ke merata tempat semata-mata mendapatkan elemen hiasan taman Inggeris seperti yang diinginkan.

Ada kalanya beliau membelinya daripada jiran atau rakan yang mempunyai minat sama.

Tidak hairanlah ketika sesi temu bual itu, kediaman Suzana meriah dengan kehadiran beberapa rakan terdekat yang boleh dikatakan obses dengan taman Inggeris.

Masing-masing tidak melepaskan peluang merakam sebanyak mungkin gambar di sekitar taman.

Dari jauh, kediaman yang terletak bersebelahan jalan raya membuatkan sesiapa saja yang melintasinya pasti tidak terlepas pandang taman Inggeris yang diilhamkan.

Bayangkan wujud di depan mata sebuah taman dengan warna-warni bunga-bungaan segar dan elemen hiasan menarik.

Deretan pasu yang disusun menarik kelihatan sarat dengan pelbagai jenis bunga termasuk bunga kertas, ros, ros Jepun dan kemboja.

Dalam menambahkan suasana semula jadi, tanaman berdaun hijau dan hamparan rumput segar turut memenuhkan ruang yang ada.

Keindahan taman Inggeris itu juga dilihat mempunyai kesinambungan apabila beranda kediaman itu tampil dalam gaya yang sama.

Bahagian dinding beranda pula diserikan dengan pelbagai hiasan dan set kerusi dan meja santai dalam gaya Inggeris.

Papan tanda tertulis Teratak Ana juga antara dekoratif menarik yang diselitkan antara perhiasan itu.

“Semua ini khas buat tetamu dan sanak saudara sempena Aidilfitri ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 5:05 AM