Ahmad Bashah berkata perbincangan KFA dan D’Herbs tidak sepatutnya menyebabkan hubungan dua pihak menjadi keruh. FOTO NSTP
Ahmad Bashah berkata perbincangan KFA dan D’Herbs tidak sepatutnya menyebabkan hubungan dua pihak menjadi keruh. FOTO NSTP
Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tetap dengan pendirian menolak tawaran tajaan RM30 juta daripada D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd kerana kedua-dua pihak berkenaan gagal mencapai persetujuan.

Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya tidak pernah berniat mahu mengguris perasaan sesiapa atau memperkecilkan mana-mana pihak yang terbabit.

Katanya, pendirian KFA tetap menolak tajaan bernilai RM30 juta untuk tiga tahun kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

"Ia berikutan ada syarat-syarat yang dikemukakan oleh pihak penaja (D'Herbs) sebelum ini tidak dapat kami terima dan tunaikan.

"Bagi saya keputusan ini adalah lumrah selepas dua pihak yang mengadakan perbincangan dan ia tidak sepatutnya menyebabkan hubungan kedua-dua pihak menjadi keruh," katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.

Menurutnya, beliau berharap pihak D'Herbs memahami keputusan itu dan KFA masih sedia berbincang dengan mana-mana pihak untuk memajukan sukan bola sepak Kedah.

"Buat peminat Kedah, saya ingin menegaskan KFA bukan persatuan yang sedang mengalami masalah (kewangan) kerana kami masih berjalan seperti biasa dan bersemangat untuk memajukan sukan yang sudah sebati dengan rakyat negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 7:18 PM