Sepang: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam pergerakan trafik dengan jumlahnya mencecah 70 juta penumpang setahun dalam tempoh 10 tahun.

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Khair Mirza berkata, syarikat itu merangka inisiatif yang akan digunakan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi merevolusi sambungan, meningkatkan proses daftar masuk dan membangunkan aplikasi mudah alih untuk pengalaman menyeluruh lapangan terbang.

“Kami berhasrat meningkatkan proses daftar masuk melalui pelaksanaan kaunter daftar masuk bagasi automatik. Ia terbukti di Lapangan Terbang Sydney di mana penumpang tidak berpengalaman boleh mendaftar masuk bagasi mereka kurang daripada seminit dan mereka yang menggunakan tanda pengenalan frekuensi radio mampu berbuat demikian kurang daripada 15 saat di kaunter Qantas Airways,” katanya.

Khair berkata demikian dalam ucaptama bertemakan Pengembara Digital - Menyajikan Pengalaman Lancar dan Peribadi Lapangan Terbang di Persidangan dan Pameran Pengalaman Pengembaraan Masa Depan Asia 2014 yang dihoskan MAHB, di sini, semalam.

Menurutnya, aplikasi mudah alih seperti tempahan tempat letak kereta lapangan terbang, perkhidmatan lapangan terbang premium, panduan lapangan terbang dan beli-belah dalam talian berintegrasi akan menambah nilai kepada wang untuk kemudahan letak kereta, beli-belah serta makanan dan minuman.

MAHB turut menjangka memudahkan pertumbuhan hasil dengan membabitkan pelanggan dalam dialog bersemuka dalam saluran melalui aplikasi beli-belah dalam talian berintegrasi.

Lebih 400 pihak berkepentingan dalam industri pelancongan di seluruh Asia mengambil bahagian dalam forum tiga hari yang bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:04 AM