Penumpang juga boleh menggunakan kios daftar masuk di KLIA 2. - Foto Fail
Penumpang juga boleh menggunakan kios daftar masuk di KLIA 2. - Foto Fail

Kuala Lumpur: AirAsia melaksanakan proses daftar masuk sendiri sepenuhnya untuk kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X yang berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) mulai esok.

Justeru itu, kesemua kaunter daftar masuk di KLIA 2 akan ditutup mulai esok.

Menurut kenyataan AirAsia hari ini, langkah itu sebahagian usaha syarikat penerbangan itu memberi pengalaman perjalanan lebih lancar kepada pelanggannya.

"Penumpang dinasihat melakukan proses daftar masuk sendiri melalui pelbagai pilihan seperti web dan aplikasi mudah alih selain menggunakan kios di lapangan terbang sebelum ke kaunter bagasi untuk mendaftar masuk bagasi," kata AirAsia.

Bagi penerbangan AirAsia, daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih boleh dilakukan seawal 14 hari sehingga sejam sebelum berlepas.

Bagi AirAsia X , penumpang boleh melakukan daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih seawal 14 hari sehingga empat jam sebelum berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 10:12 PM