JAMIE Vardy. FOTO Reuters.
JAMIE Vardy. FOTO Reuters.
Reuters

PENYERANG Leicester City Jamie Vardy meledak gol dalam tujuh aksi Liga Perdana Inggeris berturut-tuurt untuk membantu pasukannya membenam kelab tercorot Watford 2-0 awal pagi tadi, tujuh kemenangan berturut-turut yang mengekalkan mereka di tangga kedua liga.

Vardy, penjaring terbanyak liga ketika ini meledak penalti pada minit ke-55 untuk jaringan ke-14 peribadi musim ini manakala pemain tengah James Maddison memastikan tiga mata dengan rembatan kencang pada minit terakhir.

Rayuan awal Vardy untuk mendapatkan penalti pada awal permainan ditolak malah dilayangkan kad kuning tetapi pasukannya kemudian dianugerahkan sepakan penalti apabila pemain Watford Adam Mesina dihukum kerana menanduk muka Jonny Evans.

Skuad Brendan Rodgers kini di tangga kedua liga dengan 35 mata hasil 15 perlawanan, lapan mata di belakang pendahulu liga Liverpool dan tiga di depan juara bertahan Manchester City di tangga ketiga.

Leicester berada ditahap terbaik ketika ini berbanding ketika mereka menjulang gelaran Liga Perdana pada musim 2015/16 dan kemenangan itu menyamai rekod liga utama mereka untuk kemenangan berturut-turut sejak Mac 1963.

“Kami perlu bersabar hari ini dan bekerja keras untuknya tetapi saya rasa kami berhak mendapatkannya,” kata Rodgers.

“Ia hasil kerjasama berpasukan dan mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana adalah satu pencapaian hebat. Pasukan ini semakin berkembang dan membuktikan mereka mempunyai mentaliti kemenangan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 10:16 AM