Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers menegaskan usaha Mario Balotelli dalam permainan semakin meningkat sekalipun penyerang itu masih gagal menjaringkan gol ketika seri tanpa jaringan dengan Hull City di Anfield, kelmarin.

Penyerang Itali itu hanya menyumbat satu gol buat Reds dalam 11 penampilan sejak perpindahan bernilai £16 juta (RM84 juta) dari AC Milan pada awal musim dan masih belum mampu mencetak gol dalam Liga Perdana buat kelab barunya.

Balotelli yang diberi tanggungjawab mencetak gol Liverpool dengan ketiadaan penyerang England, Daniel Sturridge yang cedera baru-baru ini, mempunyai beberapa peluang dalam perlawanan hambar menentang Hull.

Bekas penyerang Manchester City itu dikritik kerana etika kerjanya yang buruk sejak tiba di Merseyside, namun Rodgers memuji usaha pemain berusia 24 tahun itu pada aksi menentang Hull.

“Saya fikir Mario bermain dengan amat bagus,” jelas Rodgers.

“Dia mungkin fikir tidak diturunkan. Tapi dia bekerja keras dan melakukan yang terbaik.

“Bagi saya dia dan Rickie Lambert beraksi dengan bagus. Dari segi persembahan, dia bertindak baik.” kata Rodgers- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:07 AM