BUAYA yang ditangkap. FOTO ihsan Bomba
BUAYA yang ditangkap. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Seekor buaya ditemui dalam stor pejabat kolam penternakan udang di Taman Desa Guru di sini, petang tadi.

Pemilik menyedari kehadiran reptilia itu ketika pergi ke stor pejabat untuk mengambil barang dan terkejut apabila mendapati buaya berada atas lantai, kira-kira 2.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, buaya itu dipercayai tersesat dari Sungai Samariang yang terletak kira-kira 200 meter dari pejabat kolam penternakan udang itu.

Menurutnya, pemilik kolam segera menghubungi talian kecemasan pada 2.48 petang.

"Seorang pegawai bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya bergegas ke lokasi kejadian.

"Kami cuba menangkap buaya terbabit dan mengikatnya dalam tempoh kira-kira 15 minit," katanya.

Katanya, buaya berukuran 2.4 meter itu akan diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:20 PM