BOMBA berjaya membawa turun seorang remaja turun dari bumbung sebuah surau di Bandar Baru Samariang di sini, petang tadi. FOTO ihsan bomba
BOMBA berjaya membawa turun seorang remaja turun dari bumbung sebuah surau di Bandar Baru Samariang di sini, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Bomba berjaya memujuk dan membawa turun seorang remaja lelaki dipercayai dirasuk makhluk halus duduk atas bumbung sebuah surau di Bandar Baru Samariang di sini, sebentar tadi.

Remaja berusia 15 tahun itu, dipercayai dirasuk makhlus halus dan naik atas bumbung dengan memanjat pokok atau kanopi yang dipasang berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Muhd Mirza Dzalmira Miraj berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba cuba naik dengan meletakkan tangga di sisi bangunan.

Bagaimanapun, remaja terbabit menyepak tangga yang diletakkan dan menjeling dengan muka bengis pada anggota bomba yang menyuluh lampu ke arahnya.

"Ketika azan berkumandang, remaja terbabit beberapa kali memukul pembesar suara.

"Kami terpaksa tenangkan dia dan tunggu sehingga betul-betul dia tenang sebelum tiga anggota berjaya memegang badan mangsa.

"Kami pegang dia erat-erat sehingga dia lemah, pujuk sambil membacakan ayat Al-Quran dan bawa dia turun," katanya.

Mirza berkata, remaja terbabit kemudian diserahkan kepada bapanya untuk dibawa berubat secara tradisional.

Katanya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya terbabit dalam khidmat khas ini sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 malam.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.09 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 10:46 PM