KETENGAHKAN konsep ringkas, sopan dan santai  untuk wanita  bertubuh besar.
KETENGAHKAN konsep ringkas, sopan dan santai untuk wanita bertubuh besar.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Pemilihan konsep fesyen haruslah seiring dengan penampilan tubuh yang kini kerap menjadi masalah utama khusus buat wanita bertubuh gempal atau kecil.

Arus fesyen semasa kebanyakannya menumpukan kepada mereka yang bersaiz sederhana membuatkan dua golongan ini sering gagal menemukan pakaian yang menepati cita rasa.

Berfikir selangkah ke depan, dua sahabat yang memiliki dua jenama fesyen berasaskan dalam talian tampil dengan Regen Kita sekali gus menjadi jawapan kepada perbezaan saiz badan dan cita rasa wanita.

Semakin dikenali penggemar fesyen, Ateelza Azleeta dan Juleyna Boutique milik dua sahabat dari bangku sekolah, Azlita Jantan dan Juliana Selamat adalah ilham kepada terhasilnya Regen Kita awal tahun lalu.

“Misi kami untuk mengetengahkan koleksi sedia dipakai yang sesuai digayakan semua bentuk tubuh wanita tidak kira peringkat usia,” kata Azlita yang lebih mesra disapa sebagai Cheta.

Atas minat dan komitmen yang tinggi, dua sahabat yang ditemukan semula setelah hampir 15 tahun melalui hasil keserasian dalam bidang perniagaan fesyen.

“Tahun ini kami nekad dan mahu mengorak langkah lebih berani untuk memasarkan produk dan rekaan daripada jenama masing-masing setaraf dengan jenama dan butik terkenal,” katanya.

Ateelza Azleeta bermula daripada kesukaran Cheta untuk mendapatkan pakaian yang serasi dengan bentuk tubuh yang dimiliki dan akhirnya hanya menemui kekecewaan.

Memahami kehendak wanita bersaiz besar, bermulalah percubaan Cheta untuk belajar menjahit dan ingin membuat koleksi jenama sendiri. Butiknya mengetengahkan konsep ringkas, sopan dan santai kerana dia percaya pakaian yang selesa menjadi keutamaan wanita terutama mereka yang bertubuh besar.

Koleksi terbaru Ateelza Azleeta terdiri daripada jubah dan blaus termasuk penggunaan fabrik como crepe.

Juleyna Boutique pula berbeza dengan rangkaian koleksi busana Cheta apabila rekaannya diadaptasi melalui pemerhatian di majalah dan Internet menjadi sumber utama kepada koleksi ini yang fokus kepada si pemakai bertubuh sederhana.

“Kebanyaan rekaan berkonsepkan seluar yang sesuai untuk semua peringkat usia, tetapi buat masa ini tumpuan pada yang bertubuh sederhana dan kurus.

“Keunikan seluarnya mengetengahkan fesyen seluar lama yang diberi nafas baru dari segi material fabrik dan perincian antaranya batik palazo, skirt palazo dan palazo dengan potongan pinggang tinggi,” katanya.

Bersetuju dengan satu sama lain, dua sahabat ini menyatakan kolaborasi ini juga umpama satu titik permulaan baru bagi mereka mengorak langkah lebih besar dalam bidang fesyen.

Bagi yang ingin mengetahui koleksi fesyen Regen Kita boleh melayari laman Facebook Regen Kita atau Instagram @regenkitaofficial.

Dalam pada itu, maklumat mengenai Ateelza Azleeta disediakan di Facebook Ateelza Azleeta dan Instagram @ateelza_azleeta serta Juleyna Boutique di Facebook Juleyna Boutique HQ dan Instagram @JuleynaBoutique.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 5:00 AM