CANTIK dan unik.
CANTIK dan unik.
Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua wanita dianugerahkan tubuh tinggi dan ramping persis model kerana hakikatnya lebih ramai wanita tempatan yang bertubuh kecil molek selain agak berisi.

Pemilihan konsep fesyen haruslah seiring dengan penampilan tubuh, apatah lagi ia kerap menjadi masalah utama buat wanita bertubuh gempal dan kecil molek ini.

Arus fesyen semasa kebanyakannya menumpukan kepada individu bersaiz sederhana, lantas dua golongan ini sering gagal menemukan pakaian yang menepati cita rasa.

Berfikir selangkah ke hadapan, dua sahabat yang memiliki dua jenama fesyen berbeza secara dalam talian tampil dengan Regen Kita, sekali gus menjadi jawapan kepada perbezaan saiz badan dan cita rasa wanita.

Semakin dikenali penggemar fesyen, jenama Ateelza Azleeta dan Juleyna Boutique milik dua sahabat, Azlita Jantan dan Juliana Selamat berkongsi idea dalam penghasilan Regen Kita, awal tahun lalu.

Misi Azlita untuk mengetengahkan koleksi sedia dipakai yang sesuai digayakan semua bentuk tubuh wanita tidak mengira peringkat usia.

“Kini kami mengorak langkah lebih berani untuk memasarkan produk dan rekaan daripada jenama masing-masing setaraf jenama dan butik terkenal,” katanya.

Azlita berkata, jenamanya, Ateelza Azleeta bermula daripada kesukarannya untuk mendapatkan pakaian sesuai dengan bentuk tubuh.

“Memahami kehendak wanita gempal, bermulalah percubaan saya untuk belajar menjahit dan ingin membuat koleksi jenama sendiri.

“Saya mengetengahkan konsep ringkas, sopan dan santai kerana percaya pakaian yang selesa menjadi keutamaan wanita, terutama pada mereka bertubuh besar,” katanya yang menghasilkan jubah serta blaus menggunakan fabrik abaya dan como crepe berkualiti dan tidak panas.

Bagi Juliana, Juleyna Boutique memberi fokus kepada si pemakai yang bertubuh sederhana dan kecil.

“Kebanyaan rekaan berkonsepkan seluar yang sesuai untuk semua golongan usia, tetapi buat masa ini untuk yang bertubuh sederhana dan kecil saja.

“Keunikan seluar ini kerana ia mengetengahkan fesyen seluar lama yang diberi nafas baru dari segi fabrik dan perincian antaranya batik palazo, skirt palazo dan palazo berpinggang tinggi,” katanya.

Bagi yang ingin mengetahui mengenai kolaborasi koleksi fesyen Regen Kita boleh melayari laman Facebook Regen Kita atau Instagram @regenkitaofficial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:00 AM