Freddie anggap Tony pelakon yang baik kerana tidak pernah timbulkan sebarang masalah. FOTO FAIL NSTP
Freddie anggap Tony pelakon yang baik kerana tidak pernah timbulkan sebarang masalah. FOTO FAIL NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez meluahkan rasa dukacita dengan perkhabaran pelakon, Tony Eusoff dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan di Singapura selepas didapati bersalah menyimpan dadah.

"Sangat mendukacitakan dan pada masa sama saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Tony. Selepas menerima berita itu menerusi WhatsApp, saya memang terkejut," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Freddie, dia memohon supaya semua pihak mengambil iktibar daripada insiden itu.

"Jadikanlah apa yang berlaku ini sebagai iktibar. Tidak kira di mana kita berada, patuhi undang-undang yang sudah ditetapkan,” katanya.

Tegas Freddie, jika ada masalah ketagihan dadah atau tabiat negatif, segeralah mendapatkan bantuan.

Menurutnya lagi, Tony antara pelakon yang aktif menyertai program anjuran Karyawan.

"Namun, beberapa tahun kebelakangan ini saya jarang bertemu dengannya di acara Karyawan. Dia juga muncul di kaca televisyen dan layar perak.

"Mungkin dia sibuk dengan teater dan kerja belakang tabir. Bagi saya, Tony ahli persatuan dan pelakon yang baik kerana tidak pernah menimbulkan sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 6:29 PM