Najiy Jefri


Kuala Lumpur : “Saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk ke sana (Medan) kerana tidak mampu. Lagipun, untuk apa saya ke sana?” kata Khairil Anwar ZM Rashidi, 65, bapa pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 38, atau Benjy yang ditahan di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan, Indonesia selepas didapati menyimpan syabu dalam duburnya, Selasa lalu

Khairil ketika dihubungi berkata, dia yang kini menetap di Serendah, Selangor dalam keadaan tidak sihat kerana angin ahmar sejak beberapa bulan lalu.

“€œTidak ada apa yang perlu dijelaskan. Saya juga tidak boleh bercakap lama kerana menghidap angin ahmar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez ketika dihubungi meluahkan rasa kecewa berhubung perkara itu.

“Ini bukan kali pertama dia ditangkap. Ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada pelakon itu dan dia sepatutnya belajar daripada kesilapan. Namun, nampaknya itu tidak berlaku.

“Lebih menyedihkan, kali ini dia ditahan di luar negara," katanya.

Menurut Freddie, Karyawan tidak bercadang untuk ke Medan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Katanya, pihaknya juga percaya ia lebih sesuai menjadi pertimbangan pihak keluarga pelakon berkenaan.

"Ini membabitkan undang-undang negara luar. Kami tidak mempunyai kuasa untuk ke sana.

"Saya berharap dia melantik peguam untuk menyelesaikan kesnya dan meminta bantuan keluarga," katanya.

Menurut Freddie, berita penangkapan ini wajar menjadi pengajaran kepada artis di sini supaya tidak melanggar undang-undang walau di mana saja berada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 9:51 PM