TUGAS mendidik dan membesarkan anak tanggungjawab ibu bapa bukan pembantu rumah.
TUGAS mendidik dan membesarkan anak tanggungjawab ibu bapa bukan pembantu rumah.
Siti Nadirah Hafidzin

Apabila si anak memilih untuk berada di sisi pembantu rumah yang bertindak sebagai pengasuh, ia tentu sekali meninggalkan kesan emosi yang sedih kepada kedua-dua ibu bapa.

Hakikatnya kini, semakin ramai anak yang sejak kecil ditinggalkan sehari suntuk bersama pembantu rumah dek kesibukan ibu bapa hingga ada yang sering tidur bersama pembantu rumah.

Si kecil yang masih tidak mengetahui apa-apa itu pastinya mempunyai perasaan dan walaupun mereka belum boleh bertutur dengan baik, ikatan perasaan antara dia dengan individu yang sering bersama pasti boleh dirasai.

Lebih menyedihkan apabila si anak memilih untuk bersama pembantu rumah berbanding ibu bapa ketika mereka berdepan rasa tidak selesa atau ketakutan.

Ada antara mereka yang mula memanggil ibu atau mak sebagai bahasa panggilan kepada si pembantu rumah dek keakraban hubungan yang terjalin.

Senario itu pastinya menimbulkan pelbagai masalah di kemudian hari jika dibiarkan berterusan terutama membabitkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Kebiasaannya perkara sebegini terjadi apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan tuntutan tugas di pejabat dan sering pulang lewat ke rumah menyebabkan si anak lebih banyak menghabiskan masa bersama pembantu rumah.

Ibu bapa pulang ke rumah melewati jam 10 malam ketika si anak sudah tidur dan rutin itu berlaku setiap hari sehinggakan memakan masa bertahun-tahun.

Proses pembesaran anak juga tidak dapat dinikmati sepenuhnya dan tanpa sedar si anak sudah menjangkau usia 10 tahun.

Dampingi anak

Hakikatnya, senario seperti itu tidak akan terjadi sekiranya si ibu mahupun bapa mempunyai kesedaran tugas mereka bukan sekadar melahirkan malah apa yang lebih penting membesarkan zuriat mereka sendiri.

Hubungan dan jalinan emosi antara anak dengan ibu bapanya amat penting kerana ia bakal mempengaruhi identiti si anak.

Menurut Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen, kebanyakan ibu bapa terlalu mementingkan tugas di luar berbanding tanggungjawab di rumah.

“Situasi itu pastinya menjurus dan menjadi punca berlaku pelbagai masalah. Bukan saja si anak akan berasa asing dengan ibu bapanya, malah pembentukan emosi mereka juga terganggu.

“Lebih memburukkan keadaan apabila ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tugas menjaga dan mendidik anak di rumah kepada pembantu kerana ia akan mewujudkan jurang yang lebih jauh antara ibu bapa dengan anak,” katanya.

Tambah Ko, kanak-kanak yang dibesarkan sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa nyata berbeza dengan kanak-kanak yang sering terabai dan tidak mempunyai hubungan rapat dengan keluarga.

“Jadilah rakan terbaik kepada mereka, individu terawal untuk mendengar segala rungutan dan masalah emosi yang dialami bagi memastikan anak cenderung memilih ibu bapa sebagai rakan baik berbanding individu lain.

“Bukan tidak membenarkan si anak rapat dengan pembantu rumah namun hubungan itu perlu ada batasnya dan apa yang lebih penting, si anak lebih rapat dengan ibu bapanya,” ujarnya.

Layanan dan masa

Menghadiri sebarang acara di sekolah, menemani anak ketika mereka dipilih mewakili sekolah dalam pertandingan tertentu pasti menggembirakan mereka.

Jangan sesekali membiarkan anak membesar sendirian tanpa meninggalkan kenangan manis mahupun pahit yang dapat dikongsi apabila mereka dewasa kelak.

Ko berkata, perhatian khusus dan masa adalah perkara paling penting yang dapat mempengaruhi emosi anak.

“Layan dan hargai anak mengikut tahap usia mereka dan biarkan mereka selesa tanpa ada rasa janggal kerana kebiasaannya ramai ibu bapa yang sibuk sering kali mudah tertekan.

“Jangan sesekali melayan anak remaja dengan cara layanan seperti kebudak-budakan kerana ia memberi kesan pada emosi dan pemikiran mereka selain menyebabkan mereka lebih terasing kerana berasakan ibu bapa tidak memahami,”katanya.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik antara mereka dengan anak dan disebabkan itu, kesedaran serta tanggungjawab membesarkan zuriat sememangnya penting.

“Pembantu rumah ditugaskan untuk membantu, bukannya mengambil alih semua tugas dan tanggungjawab kita terutama dalam mendidik serta membesarkan anak.

“Bahagikan masa sebaiknya antara tugas di pejabat dan di rumah bagi membentuk sebuah keluarga bahagia terutama bagi memastikan anak lebih selesa berada di sisi ibu bapa, bukannya pembantu rumah,”ujarnya.

Perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa:

- Pembantu rumah mungkin ditugaskan untuk memasak tetapi ibu atau bapa yang perlu menyuapkan mereka makan. Menyuap dan melayani anak makan adalah tugas ibu bapa kerana ibu bapa yang bertanggungjawab mengajar anak membaca doa makan dan adab semasa makan selain ia dapat membina hubungan yang lebih kukuh.

- Pembantu rumah mungkin boleh memandikan anak, tetapi memakaikan baju anak adalah tugas ibu bapa supaya ibu bapa boleh memerhatikan keadaan fizikal anak seperti jika ada luka, benjol atau lebam di bahagian tubuh mereka. Sekiranya si anak sudah semakin meningkat remaja anda boleh segera mengajak anak duduk makan bersama selepas mandi atau solat berjemaah.

- Semasa anak sakit atau demam, ibu bapa yang paling utama menjaga anak yang tidak sihat bukan pembantu. Tugas ibu bapa memeriksa suhu badan anak, mengelap atau memandikan serta menyuapkan ubat sekiranya anak demam kerana anak yang sakit lebih memerlukan kasih sayang ibu bapa.

- Tugas mengemas rumah boleh diserahkan kepada pembantu tetapi tugas sensitif atau yang mempunyai kaitan dengan perasaan perlulah diserah kepada ibu bapa seperti melayan anak menonton televisyen, menyiapkan tugasan sekolah, makan dan bercerita sebelum si anak tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 5:00 AM