BERAS Bario yang dibungkus.
BERAS Bario yang dibungkus.
PEMANDANGAN sawah padi  Bario.
PEMANDANGAN sawah padi Bario.
BERAS Bario rasanya enak.
BERAS Bario rasanya enak.
AHMAD Shabery (enam dari kiri) dan Alfred (tujuh dari kiri) di Kilang Beras Bario Ceria.
AHMAD Shabery (enam dari kiri) dan Alfred (tujuh dari kiri) di Kilang Beras Bario Ceria.
AHMAD Shabery melawat kawasan sawah padi pada lawatan di Bario.
AHMAD Shabery melawat kawasan sawah padi pada lawatan di Bario.
Mohamad Hussin


Apabila berpeluang membuat liputan ke perkampungan Bario, Sarawak bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), baru-baru ini terdetik di hati penulis apakah yang menarik di kawasan pedalaman itu?

Hanya terlintas di fikiran beras Bario di situ yang dikatakan sangat unik dan mahal harganya. Lantas, penulis terus mendapatkan sebanyak mungkin maklumat melalui Internet berkenaan kawasan itu.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri mengambil masa dua jam sebelum berlepas ke Bario keesokan harinya dengan menaiki pesawat ringan ‘Twin Otter’ hampir satu jam.

Ketika menghampiri perkampungan Bario, penulis sempat menjengah pemandangan dari udara keindahan sawah padi yang terbentang luas.

Beras Bario dianggap antara tanaman istimewa kerana ia ditanam di kawasan tanah tinggi sementara sumber pengairan ke sawah membabitkan tiga anak sungai iaitu Sungai Arul Dalan, Sungai Arul Laab dan Sungai Paramapoh yang belum tercemar.

Penghulu Kawasan Bario Roizertson Bala, 65, berkata, terdapat lebih 1,300 pesawah membabitkan 14 kampung di kawasan Bario yang mengusahakan sawah padi.

Menurutnya, beras Bario sangat istimewa kerana memiliki rasa unik dan enak yang sememangnya tidak dimiliki beras lain di negara ini.

“Kelebihan beras ini antaranya rendah karbohidrat dan merendahkan kandungan gula dalam darah serta kolestrol selain mempercepatkan pemulihan ibu bersalin.

“Selain itu, beras ini ditanam menggunakan aliran air gunung dan langsung tidak menggunakan baja kimia. Segala-galanya organik bagi menjamin mutu beras Bario ini sendiri.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu pesawah mengkomersialkan lagi beras Bario ini,” katanya yang mengusahakan sawah padi sejak 30 tahun lalu.

Malik Bala, 49, berkata masalah yang dihadapi pesawah di sini adalah baja organik kerana mereka terpaksa mengambil baja di bandar Miri dengan menaiki pengangkutan darat lebih kurang 12 jam.

“Kosnya juga sangat tinggi kerana harga bagi satu guni baja RM150 berbanding di kawasan lain. Kita menggunakan satu guni baja 50 kilogram (kg) bagi 0.4 hektar petak sawah.

“Saya berharap pihak berwajib membantu pesawah dari segi pembiayaan baja kerana kami tidak mampu menanggung kos. Penggunaan baja organik menyebabkan rasanya enak dan mahal,” katanya.

Ketua Kampung Pa Lungan, Matius Litah, 56, berkata dia menjadi petani sejak berusia 17 tahun tidak sabar melihat produk beras setempat berdaya maju secara komersial.

“Saya berharap kerajaan terus membantu petani di Bario untuk meningkatkan projek kami kerana produk tempatan boleh pergi jauh jika dibangunkan.

“Saya juga ingin melihat lebih banyak golongan muda terbabit dalam kegiatan pertanian untuk memastikan pengeluaran beras Bario boleh dikekalkan untuk tahun akan datang,” katanya.

Katanya, proses penanaman padi bermula dengan semaian pada Julai hingga musim penuaian setiap Disember dan ia mengambil masa selama lima bulan untuk menghasilkan padi.

“Kebanyakan pesawah menjual padi kepada sebuah syarikat di sini yang membantu memasarkan beras Bario sama ada di Sarawak mahupun di Semenanjung,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melakukan lawatan ke Bario berkata, masalah yang dihadapi petani di Bario termasuk pengangkutan menjadi penghalang untuk memastikan kemampanan perniagaan mereka.

“Bekalan baja juga antara halangan utama kepada petani di Bario, tetapi kami akan terus menyokong mereka terutama dari segi membawa baja ke sini. Sebelum ini, baja hanya dibekalkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baram.

“Walaupun tempat yang paling dekat dengan kawasan Bario adalah PPK Baram, ia masih jauh dan mungkin membabitkan kos yang tinggi. Secara tidak langsung menjadikan harga baja di sini lebih mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kilang beras Bario Ceria Sdn Bhd. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya meminta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu pesawah terbabit.

“Kerajaan memahami nasib petani di sini kerana kos baja saja boleh berubah dari RM50,000 hingga RM70,000 setiap musim.

“Kami berharap beras Bario terus menjadi beras khas yang boleh didapati bukan saja di Sarawak, tetapi juga di seluruh Malaysia dan dunia,” katanya.

Menurutnya, beras Bario dianggap antara tanaman istimewa kerana ia ditanam di kawasan tanah tinggi selain sumber pengairan yang bersih.

“Saya dapati harga beras Bario di Kuala Lumpur boleh mencecah antara RM25 hingga RM30 sekilogram. Ia sangat mahal berbanding beras biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 5:20 AM