BARIO menjadi antara destinasi pelancongan menarik di Sarawak.
BARIO menjadi antara destinasi pelancongan menarik di Sarawak.
Muhammad Farhan


Sebut sahaja Bario, pasti terbayang keindahan perkampungan di pertengahan Tanah Tinggi Kelabit di timur laut Sarawak pada ketinggian 1,000 meter (3,280 kaki) dari paras laut.

Untuk ke perkampungan yang turut dikenali sebagai 'Land Of A Hundred Handshake' ini, pengunjung perlu menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Miri yang hanya mengambil masa kira-kira 50 minit. Berbanding melalui jalan darat yang boleh mengambil masa selama lebih kurang 12 jam perjalanan.

Biarpun begitu, Bario tetap antara destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke Sarawak.

Bagi menzahirkan hasrat melihat dengan lebih dekat keunikan perkampungan ini pada Februari lalu, penulis bersama tiga rakan mengambil kesempatan untuk berkunjung ke sini.

Penulis menggunakan penerbangan awal pagi dari Kuala Lumpur ke Miri yang mengambil masa selama dua jam setengah perjalanan.

Dari Miri, kami mengambil penerbangan tengah hari untuk ke Bario menaiki Twin Otter yang boleh memuatkan dalam 19 penumpang pada satu-satu masa.

Ketika penulis menaiki penerbangan itu, hanya terdapat enam penumpang sahaja. Pengalaman ini jarang dapat dirasai. Untuk penerbangan ini, hanya dua juruterbang yang mengendalikan pesawat itu tanpa ada pramugara atau pramugari.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Bario, kami dijemput menaiki kenderaan pacuan empat roda dan terus dibawa ke Sinah Homestay untuk menikmati juadah tengah hari yang disediakan pemiliknya yang mesra disapa Auntie Betty.

MENAIKI  Twin Otter untuk ke Bario.
MENAIKI Twin Otter untuk ke Bario.

Kemudian penulis terus bersiap untuk ke Salt Spring iaitu tempat pemprosesan garam Bario. Di sini penulis berpeluang melihat dengan lebih dekat penghasilan garam menggunakan teknik tradisional.

Selepas itu, kami pulang dan apabila tiba, Auntie Betty mengajak kami untuk memancing ikan di belakang rumahnya bagi santapan makan malam.

Pada keesokan hari, selepas sarapan, kami mendaki ke puncak Prayer Mountain. Bagi penulis, ia pendakian yang agak mencabar namun berbaloi kerana pendaki akan disajikan pemandangan yang indah. Dari puncak, penulis boleh melihat hampir keseluruhan kampung-kampung di Bario.

MELAWAT bangkai kapal terbang tinggalan tentera British.
MELAWAT bangkai kapal terbang tinggalan tentera British.

Pada sebelah petangnya pula, kami dibawa melawat kawasan kampung di Bario dan melihat jambatan gantung yang menghubungkan kampung-kampung di sana.

Kami sempat singgah melihat sawah padi yang hanya ditanam dan dituai setahun sekali. Ia antara aktiviti ekonomi utama komuniti dalam memajukan Padi Bario yang cukup terkenal dalam kalangan pengunjung.

Selepas itu, kami dibawa ke Pekan Bario yang kecil kerana hanya mempunyai beberapa deretan kedai.

Petang itu juga, kami singgah melawat bangkai kapal terbang tinggalan tentera British. Berlatarkan gunung-ganang dan sawah padi yang terbentang luas, tempat ini menjadi tarikan di Bario selain menjadi lokasi wajib untuk bergambar.

MENYUSURI jambatan gantung yang menghubungkan kampung di sekitar Bario.
MENYUSURI jambatan gantung yang menghubungkan kampung di sekitar Bario.

Sebaik tiba di Sinah Homestay, Auntie Betty sudah menyiapkan juadah makan malam untuk kami. Pada sebelah malam, kami bersembang santai sahaja untuk menikmati malam terakhir di Bario.

Keesokannya selepas bersarapan, kami meninggalkan Auntie Betty dengan berat hati. Keramahan pemilik inap desa ini membuatkan kami akan kembali untuk melawatnya di Bario pada masa akan datang.

Sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Bario, kami singgah di Pekan Bario membeli beras Bario dan garam Bario untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Menariknya beras Bario mempunyai tiga jenis warna iaitu putih, merah dan hitam. Selain itu, terdapat banyak barangan kraf tangan yang dijual penduduk di sana.

Bagi penulis, peluang tinggal di kawasan perkampungan Bario selama tiga hari dua malam yang jauh dari hiruk pikuk bandar dengan penduduknya yang ramah dan baik adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Bagi yang inginkan kelainan dalam percutian anda, Bario adalah destinasi yang wajib dilawati!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:21 AM