PETAK sawah padi di Bario yang mengujakan.
PETAK sawah padi di Bario yang mengujakan.
PEMANDANGAN rumah penduduk di Bario yang mendamaikan.
PEMANDANGAN rumah penduduk di Bario yang mendamaikan.
PENGINAPAN ringkas dan selesa ditawarkan di homestay.
PENGINAPAN ringkas dan selesa ditawarkan di homestay.
SANTAI di homestay.
SANTAI di homestay.
HASIL kraftangan manik dan anyaman kaum Kelabit mempunyai keunikan tersendiri.
HASIL kraftangan manik dan anyaman kaum Kelabit mempunyai keunikan tersendiri.
PELBAGAI hasil tanaman, hasil seni dan makanan eksotik kaum Kelabit dan Penan dijual sempena Pesta Nukenen Bario.
PELBAGAI hasil tanaman, hasil seni dan makanan eksotik kaum Kelabit dan Penan dijual sempena Pesta Nukenen Bario.
SUASANA mendamaikan Bario dari homestay.
SUASANA mendamaikan Bario dari homestay.
Oleh Mohd Aidil Abdullah


Keunikan Bario di Sarawak bukan saja pada hasil pengeluaran beras wangi yang termahal di negara ini, malah kaya dengan keindahan alam sekitar yang belum tercemar.

Andai ada yang bertanya, Bario adalah gabungan dua perkataan berbeza iaitu Ba dan Rio. Ba membawa maksud sawah manakala Rio bermaksud angin.

Majoriti penduduk Bario daripada etnik Kelabit yang suatu ketika dulu dikenali kumpulan pemburu kepala yang menjadi lambang kepahlawanan mereka.

Penduduk masih mengekalkan tradisi dan adat resam, selain gadisnya yang jelita menambah keistimewaan lokasi yang terletak di utara Sarawak ini sehingga membolehkannya tercatat dalam peta pelancongan dunia.

Satu-satunya pengangkutan terpantas untuk ke Bario ialah dengan menaiki kapal terbang ringan MASWing ‘Twin Otter’ dari Miri selama kira-kira satu jam yang tentunya memberi pengalaman tidak mungkin dilupakan kepada sesiapa saja yang pernah berkunjung ke sana.

Begitupun, bagi mereka yang inginkan cabaran, Bario boleh juga dikunjungi dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau ‘trekking’ dan merentas hutan dari Ba’kelalan ataupun perjalanan terus dari Miri.

Pengalaman memasuki Bario dari Ba’kelalan, baru-baru ini, memberi peluang kepada penulis untuk melihat sendiri keunikan kehidupan masyarakat desa di sepanjang perjalanan, selain keindahan alam semula jadinya.

Sebelum memulakan perjalanan ke Ba’kelalan, penulis terlebih dahulu ke Lawas dari Miri sebelum menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Ba’kelalan selama tujuh jam.

Selepas itu, penulis mengembara lagi dengan ‘trekking’ atau merentas kawasan hutan selama dua hari sebelum tiba di Bario.

Ketika memulakan perjalanan ke dari Lawas ke Ba’kelalan, penulis menyusuri laluan balak dengan keadaan jalan kurang sempurna, ditambah dengan debu berterbangan ketika berselisih dengan lori balak.

Menempuh perjalanan tujuh jam memang sungguh memenatkan. Puas penulis mengubah posisi duduk dalam kenderaan sehingga adakalanya terpaksa bersila.

Ada ketikanya, terdetik di dalam hati apa istimewanya kawasan tanah tinggi ini sehingga menjadi tarikan pengembara walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang sangat jauh dan memenatkan.

Namun, semua kepayahan dan penat yang ditempuhi lenyap sekelip mata sebaik kenderaan melintasi pergunungan dengan pemandangan cukup mempesonakan.

Penulis dan rakan rombongan sempat singgah di perkampungan penduduk dan yang paling penting, kami berpeluang mengunjungi kebun epal yang diusahakan penduduk.

Ba’kelalan dikenali sebagai lembah epal, bahkan ia menjadi antara tarikan utama di kawasan ini.

Masyarakat di sini juga ramah. Walaupun tinggal jauh di pedalaman, mereka seolah-olah sudah biasa menerima kedatangan tetamu dan ada antara mereka fasih bertutur bahasa Inggeris.

Ba’kelalan juga terkenal dengan garam bukit. Menambahkan lagi keistimewaannya, garam bukit Ba’kelalan antara yang terbaik dari segi khasiatnya.

Ia diusahakan penduduk kampung secara kecil-kecilan iaitu dengan mengambil air dari mata air dan memasaknya di dalam kawah.

Selepas bermalam di Ba’kelalan, penulis meneruskan perjalanan menuju ke Bario. Dua perjalanan memenatkan tetapi memberikan pengalaman sukar dilupakan.

Sepanjang perjalanan, mata disajikan dengan keindahan Bario yang terletak di kawasan lembah dikelilingi bukit-bukau dan didiami kira-kira 1,200 penduduk yang sebahagiannya bekerja di sawah padi.

Dalam pengembaraan, penulis dapat melihat lebih dekat penduduk kampung mengamalkan pertanian secara organik dan tradisi iaitu masih menggunakan kerbau untuk membajak sawah.

Penulis difahamkan, Bario satu-satunya kawasan penanaman padi sawah pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut yang mempunyai purata suhu 20 darjah Celsius.

Beras Bario paling murah dijual pada harga RM38 sekilogram, bahkan boleh menjadi lebih mahal mengikut gred dihasilkan sehingga lebih RM50.

Selain beras Bario, kawasan ini juga terkenal dengan penghasilan nanas yang ditanam di kawasan berbukit selama lapan bulan sebelum tuaian pertama.

Uniknya, buah nanas pertama selepas lapan bulan dihasilkan besar tetapi sedikit masam manakala buah seterusnya lebih kecil tetapi manis.

Di Bario saja, dianggarkan ada 30 ladang nanas. Selain dihidangkan sebagai pencuci mulut selepas makan dan dalam masakan, nanas dijadikan jem untuk dijual ke luar Bario.

Sepanjang di Bario, penulis tidak melepaskan peluang menjengah Kampung Bario Asal untuk melihat penduduknya membuat kraftangan.

Tidak lupa juga berkunjung ke rumah panjang di Ulong Palang untuk melihat keunikan rumah tradisional dengan reka bentuk dapur masak yang menarik.

Pengunjung tidak perlu risau mengenai penginapan tatkala berkunjung ke situ kerana banyak rumah atau homestay ditawarkan.

Bagi yang beragama Islam, satu daripada homestay yang boleh dikunjungi ialah rumah penginapan Pak Mustapa yang diusahakan Mustapa Raja Sewa Abdullah.

Walaupun majoriti penduduk di Bario Kristian, bagi yang beragama Islam, makanan yang disajikan sepanjang menginap di Rumah Penginapan Pak Mustapa 100 peratus halal.

Di Bario, Mustapa atau lebih popular dipanggil Pak Mus adalah satu daripada lima keluarga Islam yang menetap di kawasan itu.

Jika berkunjung ke Bario, selain melihat budaya, adat resam dan aktiviti hidup penduduknya, penulis juga menyarankan pengunjung pergi ke Pa’ Umur, Pulung Tau, Batu Law dan Gunung Murud.

Aktiviti meredah hutan, memancing dan berburu, bersiar-siar, lawatan ke rumah panjang dan perjalanan dengan bot panjang turut disediakan. Apa yang pasti, aktiviti yang ditawarkan di Bario sememangnya cukup sesuai terutama bagi mereka yang mencari suasana tenang dan damai.

Pengalaman sepanjang di tanah tinggi Bario cukup bermakna buat penulis kerana banyak dapat dipelajari dan diterokai di sana dan tidak salah mengatakan Bario bagaikan ‘syurga tersembunyi’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 12:28 PM