AFP

Bournemouth, United Kingdom: Masih segar dengan aksi kebangkitan paling menarik dalam sejarah kelab, Liverpool kembali mengatur langkah ke perlawanan domestik menentang Bournemouth di tempat lawan malam ini.

Kemenangan 4-3 kelmarin ke atas Borussia Dortmund mengimbau kenangan peminat Liverpool ketika mereka memenangi Liga Juara-Juara 2005 di Istanbul dan ia dianggap sebagai antara kenangan paling manis Reds.

Pada perlawanan itu, mereka bangkit daripada ketinggalan 3-0 sebelum mengatasi AC Milan dan muncul juara Eropah buat kali kelima dan insiden serupa berlaku kembali ketika bertemu Dortmund di mana Liverpool ketinggalan 2-0 dan 3-1 sebelum meledak gol di babak kedua sekali gus layak ke separuh akhir Liga Europa.

Malam ini, Liverpool yang menduduki tangga kelapan, masih memerlukan mata untuk mengesahkan tiket ke Eropah musim depan dan sama sekali tidak boleh memandang remeh keupayaan tuan rumah.

Pengurus Reds Jurgen Klopp (gambar) bakal berusaha untuk membuat pemainnya lupa seketika soal Liga Europa dan kapten James Milner tidak menafikan bekas pengendali Dortmund itu pasti mahukan peningkatan selepas beliau berjaya melonjakkan semula Liverpool sejak mengambil alih pasukan pada Oktober lalu.

“Beliau meletakkan imejnya ke atas pasukan,” kata Milner.

“Beliau mengambil sedikit masa untuk melakukannya kerana kami tidak biasa dengan gayanya.

“Tetapi kini kami sudah faham dengan bagaimana beliau mahu kami bermain dan saya rasa kepercayaan yang beliau letakkan ke atas kami membuatkan kami semakin seronok.

“Keputusan minggu lalu (menentang Stoke) adalah penting dan kami mempunyai ramai pemain baru yang masuk dan mereka mahu merebut tempat kami.

“Semua pemain bersatu dan anda boleh lihat suasananya. Kami tidak akan membiarkan keputusan Khamis lalu (menentang Dortmund) menjejaskan permainan kami.

“Dengan semangat ketika ini, kami merasa sangat seronok berada di kelab.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:05 AM