GUNDOGAN pilih sertai City.
GUNDOGAN pilih sertai City.
AFP

Berlin: Jurulatih Liverpool Juergen Klopp pernah menasihatkan Ilkay Gundogan supaya berpindah ke Liga Perdana dengan berkata aksi di liga utama England itu sesuai dengan pergerakannya, kata pemain tengah Manchester City itu.

Gundogan yang pernah beraksi di bawah kendalian Klopp di Borussia Dortmund selama empat musim termasuk ketika memenangi kejuaraan berganda pada 2011-12 selain layak ke final Liga Juara-Juara 2013, menyertai City hujung musim lalu dan dia menjaringkan gol pada penampilan pertamanya pada perlawanan menentang Bournemouth, Sabtu lalu.

“Secara jujur, saya pernah meminta nasihatnya. Saya tanya sama ada Liga Perdana sesuai untuk saya,” katanya. “Beliau kata ‘ya’ dan percaya saya akan seronok bermain di England dan corak permainan saya juga sesuai dengan liga itu.

“Saya gembira apabila jangkaan itu tepat.”

pemain berusia 25 tahun itu yang masih mempunyai kontrak setahun bersama Dortmund, muncul pemain pertama yang diikat City selepas jurulatih Sepanyol Pep Guardiola mengendalikan kelab Etihad terbabit.

Gundogan masih lagi cedera ketika itu dan tidak dapat beraksi di Kejohanan Eropah 2016 di Perancis.

“Beliau (Guardiola) mempunyai karisma luar biasa,” kata Gundogan. “Sesiapapun dapat melihat bahawa bola sepak di bawah Pep adalah sesuatu yang menarik.

“Jika beliau mahukan seseorang pemain, pasti ada sebabnya. Saya adalah pemain pertama yang beliau beli walaupun ketika itu saya masih lagi cedera.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:25 AM