PELARIAN Rohingya yang tiba di Aceh pada 11 Disember lalu. FOTO AFP
PELARIAN Rohingya yang tiba di Aceh pada 11 Disember lalu. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Indonesia meminta Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menggesa negara-negara di bawah Konvensyen Pelarian mempercepat penempatan semula pelarian Rohingya.

Menteri Luar Retno Marsudi membuat gesaan itu semasa mengadakan pertemuan dengan UNHCR di Geneva, sambil menekankan kepentingan menangani isu pelarian Rohingya bagi mengelakkan beban yang tidak sepatutnya ke atas negara lain, terutamanya Indonesia.

Semasa pertemuan itu, beliau membincangkan isu mendesak mengenai pelarian Rohingya yang memasuki wilayah Indonesia dan kebimbangan mengenai kes pemerdagangan orang.

"Dalam pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR Filippo Grandi, (beliau) memahami cabaran yang dihadapi Indonesia," katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

Menurut data terbaharu UNHCR, lebih 1,200 warga Rohingya tiba di Indonesia sejak November dan sekurang-kurangnya 300 daripadanya tiba di Aceh dalam tempoh seminggu lalu.

Retno berkata, Agensi Pelarian PBB berikrar membantu menyelesaikan isu terbabit dengan memberikan bantuan menyokong kehidupan pelarian Rohingya.

Pada Isnin, Presiden Joko Widodo berkata, kerajaannya menyediakan tempat perlindungan sementara untuk pelarian Rohingya yang tiba di wilayah Indonesia.

Minggu lalu, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai jenayah pemerdagangan orang yang dikaitkan dengan peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang memasuki Indonesia, khususnya di Aceh.

Jokowi mengarahkan Menteri Koordinator Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Mahfud MD untuk menangani isu berkenaan.

Indonesia belum menyertai Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 atau Protokol 1967, namun masih berpegang kepada tradisi lama dengan memberikan akses dan menjadi tuan rumah kepada pelarian, berpandukan undang-undang pelarian kebangsaan yang digubal pada Disember 2016.

Undang-undang itu membenarkan perlindungan sementara sehingga lebih banyak penyelesaian kukuh dibuat bagi pelarian di negara itu, menurut UNHCR Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 3:25 PM