Presiden Indonesia, Joko Widodo (tengah). - FOTO Reuters
Presiden Indonesia, Joko Widodo (tengah). - FOTO Reuters
BERNAMA

Jakarta: Presiden Indonesia Joko Widodo akan melawat Moscow dan Kyiv pada akhir bulan ini dan bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, lapor Xinhua memetik Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

Retno berkata, dalam lawatan itu, Jokowi akan membincangkan krisis makanan yang berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine.

"Lawatan khas" itu akan menunjukkan bahawa Indonesia, sebagai negara tuan rumah Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) pada November, sedang giat bertindak balas terhadap isu geopolitik yang sedang berlaku.

Indonesia menjangka sepenuhnya bahawa Rusia, antara ahli G20, akan menghadiri sidang kemuncak itu, manakala Ukraine turut dijemput untuk mesyuarat itu sebagai negara jemputan.

"Kami memahami sepenuhnya bahawa keadaan sekarang sangat rumit, dan semua negara di dunia tahu itu. Justeru, melalui lawatan itu, presiden ingin menyumbang untuk mengatasi krisis makanan yang berpunca daripada perang dan telah memberi kesan kepada negara miskin. Presiden mahu mendesak semangat keamanan," kata Retno.

Beliau menegaskan bahawa Jokowi akan menjadi presiden pertama dari rantau Asia Tenggara yang melawat kedua-dua negara sejak konflik tercetus pada Februari tahun ini.

Konflik antara Rusia dan Ukraine telah berlaku sejak itu, yang telah dilaporkan secara meluas mencetuskan kenaikan harga makanan dan tenaga global.

Sebelum ke Moscow dan Kyiv, Widodo akan terlebih dahulu menghadiri Sidang Kemuncak G7 di Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 6:44 PM