AFP

London: Menjelang aksi pusingan kelima Piala FA malam ini, pemain tengah Liverpool Adam Lallana memberi amaran rekod yang dibanggakan Crystal Palace di Selhurst Park bakal berakhir.

Mereka yang rapat dengan Liverpool tidak boleh dipersalahkan andai berasa kecewa kerana terpaksa bertemu Palace kali ini selepas kerap dikecewakan musuh sama.

Musim lalu, beberapa orang anak buah Brendan Rodgers meninggalkan padang sambil mengesat air mata apabila peluang terakhir menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris terlepas gara-gara seri 3-3 di Selhurst Park.

Itulah yang sangat membimbangkan Liverpool menjelang pertemuan malam ini kerana mereka tidak pernah menang sejak 1997 di stadium itu.

Jika catatan ketika Liverpool tumbang 3-1 pada perlawanan pertama musim lalu tidak cukup menyakitkan, mereka pasti terlebih dulu mengingati jaringan kemenangan Alan Pardew, sekali gus membolehkan Eagles mengalahkan Reds di separuh akhir Piala FA 1990.

Begitupun, Lallana yang juga pemain antarabangsa England percaya peluang membalas semua dendam bakal tiba malam ini terutama selepas Rodgers mengubah taktik sejak hujung musim lalu.

“Perlawanan ini pasti sengit. Kami sudah belajar apabila tewas di tangan Palace awal musim ini dan mahu melunaskan hutang itu,” kata Lallana.

“Banyak yang kami belajar daripada kesukaran dialami pada awal musim.

“Kami mempunyai banyak sebab untuk menang perlawanan kali ini. Bermain bersama kelab besar seperti Liverpool membuatkan anda perlu berfikir untuk menang setiap perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:20 AM