London: Alan Pardew percaya kehadiran pemain berbakat seperti Wilfried Zaha mampu menyelamatkan Crystal Palace daripada tersingkir di saingan Liga Perdana Inggeris.

Skuad bimbingan Pardew mula mempamerkan aksi meyakinkan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Tottenham 2-1 di Selhurst Park.

Harry Kane meledak gol pendahuluan sebelum sepakan penalti Dwight Gayle serta jaringan kemenangan Jason Puncheon menyaksikan Palace meraih kemenangan pertama di saingan liga selepas sembilan perlawanan.

Pardew memuji aksi kreatif barisan pemainnya pada separuh masa kedua serta teruja dengan persembahan Zaha yang masuk selaku pemain gantian pada pertengahan babak kedua.

Zaha dipinjamkan dari Manchester United selepas gagal menyinar di Old Trafford dan Pardew percaya pemain sayapnya itu mampu mempamer aksi lebih baik.

“Kemasukan Zaha memberikan impak berbeza,” kata Pardew yang meninggalkan Newcastle untuk ke Palace.

“Dialah pemain yang mencetuskan kebangkitan. Aksinya selama 20 minit itu amat menakjubkan,” katanya. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:49 AM