London: Alan Pardew (gambar) dijangka meninggalkan Newcastle United dan menjadi pengurus baru Crystal Palace selepas diberi kebenaran berbincang dengan bekas kelabnya, kelmarin.

Eagles mengintai bos baru selepas memecat Neil Warnock Sabtu lalu dan Pardew kini semakin hampir kembali ke Selhurst Park selepas Newcastle memberi lampu hijau kepada Palace untuk berunding mengenai kontrak.

Palace dilapor akan membayar wang pampasan £2 juta (RM10.8 juta) untuk mendapatkan khidmat Pardew, yang masih mempunyai baki lima tahun kontraknya di St James’ Park.

“Newcastle mengesahkan Crystal Palace menghubungi kami secara rasmi meminta kebenaran berbincang dengan Alan Pardew mengenai kekosongan jawatan pengurus mereka,” menurut satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu.

“Crystal Palace menawarkan pampasan dan Alan kini dibenar bercakap dengan mereka.

“Hasil perkembangan ini, Alan tidak akan berada di padang latihan esok (semalam). Latihan akan dikendalikan penolong pengurus John Carver.”

Pardew melakukan 128 penampilan buat Palace antara 1988 hingga 1991 dan menjaringkan gol kemenangan ketika mengalahkan Liverpool 4-3 pada separuh akhir Piala FA 1990 di Villa Park.

Di sebalik berdepan kempen sebilangan besar penyokong Newcastle yang mahu menjatuhkannya, Pardew tetap diyakini pemilik Magpies, Mike Ashley. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:00 AM