RUANG kabin.
RUANG kabin.
BUT luas.
BUT luas.
PERUMAH lampu hadapan.
PERUMAH lampu hadapan.
ENJIN 2.4 liter yang bertenaga.
ENJIN 2.4 liter yang bertenaga.
MITSUBISHI Outlander.
MITSUBISHI Outlander.

Kenderaan utiliti sukan (SUV), Mitsubishi Outlander yang dilancarkan di negara ini sebenarnya model ‘facelift’ daripada generasi ketiga selepas dilancarkan pada 2012.

SUV itu muncul buat kali pertama pada 2003 yang dikenali sebagai Mitsubishi Airtrek sebelum ditukar namanya kepada Outlander menerusi generasi kedua.

Bagi pasaran tempatan, Mitsubishi Outlander dengan tujuh tempat duduk hadir varian 4WD sahaja yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Jika dibandingkan harga dengan model segmen sama, Mitsubishi Outlander boleh dianggap murah kerana ia varian CBU selepas dijual pada RM171,644.80 atas jalan termasuk insurans.

Mitsubishi Outlander adalah SUV saiz pertengahan jenama berkenaan yang ‘diapit’ dengan Mitsubishi ASX dan Pajero Sport, selain persaingan terdekatnya adalah Nissan X-Trail 2.5L 4WD.

Biarpun saiz pertengahan, jentera itu menekankan konsep 3S (Gaya, Ruang dan Keselamatan) bagi menjadi sajian kepada bakal penggunanya.

Konsep 3S pada jentera itu diuji selepas penulis diberi peluang memandunya bersama media lain dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, baru-baru ini.

Daripada segi gaya, imej hadapan Outlander direka dengan konsep ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi yang menampilkan elemen krom, selain dilengkapi lampu hadapan LED beserta lampu nyalaan siang LED.

Penampilannya tidak kelihatan terlalu lasak, tetapi menerapkan ciri moden lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar atau di jalan raya biasa.

Malah, roda bersaiz 18 inci dengan dua gabungan warna membuatkan ia tampak tegap dan menarik.

Bagi keselesaan pula, apa yang penulis boleh kongsi adalah ruang dalamannya sangat luas. Ini kerana ruang kargo boleh mencecah kapasiti 1,608 liter selepas tempat duduk barisan ketiga dilipat.

Ruang yang disediakan itu, pasti memudahkan penggunanya memunggah pelbagai barangan lebih-lebih lagi ketika melakukan aktiviti riadah pada hujung minggu.

Yang paling menarik, pintu but belakang hadir dengan fungsi secara elektronik di mana hanya perlu menekan butang untuk menutupnya.

Bahagian ruang kabin pula diceriakan dengan padanan bumbung matahari, manakala papan pemuka tampak ringkas dengan sistem hiburan skrin sesentuh.

Cuma kekurangan bagi ruang kabin ini adalah saluran penyaman udara untuk penumpang barisan kedua dan ketiga. Bagaimanapun, ia tidak memberi masalah bagi cuaca panas ketika ini kerana saluran penyaman udara hadapan mampu menyejukkan persekitaran dengan pantas.

Ciri keselamatan pula, ia dilengkapi tujuh beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA).

SUV ini juga didatangkan sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka pintu dan menghidupkan enjin dengan butang tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

Pengendalian jentera ini tidak ubah seperti memandu kereta sedan biasa, cuma ia sedikit tinggi dan memberi penglihatan persekitaran lebih baik.

Sepanjang melalui jalan berselekoh, stereng bertindak responsif cuma rasa sedikit membuai dan mungkin membuatkan penumpang barisan kedua serta ketiga tidak selesa.

Seperti SUV lain, Mitsubishi Outlander memberi keselesaan terutama melalui jalan kurang rata atau tidak berturap dengan baik.

Penulis teruja memandu jentera ini di lebuh raya. Jentera yang kelihatan besar ini cukup bertenaga untuk meluncur laju di lebuh raya.

Enjin petrol 2.4 liter MIVEC memberikan kuasa maksimum 169hp dengan tork mencecah 222Nm menawarkan prestasi lancar dan lebih menarik apabila pertukaran gear boleh dilakukan menggunakan pedal di belakang stereng.

Kuasa enjin dihantar keempat-empat roda menerusi kotak gear automatik CVT dan sistem pacuan empat roda Mitsubishi Multi-Select.

Tahap penggunaan bahan apinya dengan pemanduan antara 140 sehingga 170 kilometer sejam (km/j), boleh dikatakan menjimatkan apabila suku tangki masih berbaki bagi perjalanan dari Johor Bahru ke Subang, Selangor dengan jarak 360 kilometer.

Spesifikasi Mitsubishi Outlander

Enjin: 2.4 liter Mivec

KUASA MAKSIMUM: 167PS pada 6,000rpm

TORK MAKSIMUM: 222Nm pada 4,100rpm

TRANSMISI: CVT

RUANG KARGO: 1,608 liter

TAHAP PENGGUNAAN BAHAN API: 12.8km/l

CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, ASC, HSA, ABS dan EBD serta BA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:00 AM