BERSAMA Wiz Khalifa
BERSAMA Wiz Khalifa
Oleh Michelle Gun


Nama Charlie Puth mungkin kurang dikenali dalam kalangan penggiat muzik, namun penyanyi baru dan penulis lagu itu sudah mencapai kejayaan besar kerana berkolaborasi dengan ramai artis hebat.

Terkenal menerusi rakaman nyanyiannya di YouTube, nama penyanyi berusia 23 tahun itu kini ‘meletup’ selepas lagu ciptaannya See You Again yang menampilkan rapper terkenal Wiz Khalifa mendominasi carta lagu di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

Single itu diangkat menjadi runut bunyi filem Fast & Furious 7 dan juga sebagai tribute kepada pelakon filem berkenaan, Paul Walker yang meninggal dalam kemalangan jalan raya.

Bercerita mengenai pembikinan See You Again, Puth berkata, pemergian seorang rakan akibat kemalangan jalan raya menjadi inspirasi untuk menghasilkan lagu itu.

“Pihak penerbit mahu saya menulis sebuah lagu untuk Fast & Furious 7. Ketika mencipta lirik, saya memikirkan mengenai Paul Walker dan rakan saya,” katanya kepada RAP dalam temu bual menerusi telefon, kelmarin.

Penyanyi berasal dari New Jersey, Amerika Syarikat ini menyifatkan kolaborasi dengan Wiz Khalifa sebagai menakjubkan malah turut memuji bakat rapper itu.

“Whiz memberitahu dia menyukai lagu dan turut menjiwai mesej yang cuba disampaikan.

“Bagaimanapun, kami tidak sempat bertemu sepanjang proses rakaman dan hanya berkomunikasi menerusi Internet,” katanya.

Vin Diesel menangis

Tidak menafikan single itu mendapat sambutan luar biasa kerana Walker, penyanyi berasal dari New Jersey itu masih sukar untuk mempercayai kariernya kini melonjak.

“Saya bangga kerana lagu ini berjaya menyentuh ramai orang dan turut terasa apabila melihat peminat Paul Walker sedih di atas kematiannya,” katanya.

Malah, lebih mengujakan, bintang Fast & Furious 7, Vin Diesel antara peminat tegar single See You Again.

“Istimewanya, saya menerima teks mengejutkan daripada Vin Diesel yang memberitahu dia menggemari single itu.

“Pelakon itu memberitahu dia menangis ketika mendengar lagu itu, malah turut menyanyikannya ketika menghadiri sesi temu bual.

“Saya belum bertemu dengan semua pelakon Fast & Furious 7 dan berhadap dapat berjumpa dengan mereka suatu hari nanti,” katanya.

Selain See You Again, Puth turut mempertaruhkan dua single berjudul I Won’t Tell A Soul dan lagu duet Marvin Gaye bersama Meghan Trainor.

Menggemari bidang nyanyian sejak usia tiga tahun, Puth juga pernah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi popular antaranya Trey Songz, Jason Derulo dan Lil Wayne.

Bakal mengeluarkan album debut, Puth akan menyertai Trainor untuk jelajah konsert MTrain Tour di Amerika Syarikat bermula Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:02 AM