CHARLIE Puth.
CHARLIE Puth.
Susunan Georgie Joseph


Suara merdu penyanyi berusia 23 tahun ini benar-benar mencairkan peminat terutama wanita.

Meskipun baru setahun jagung, sudah nampak Charlie Puth mampu mencipta kejayaan luar biasa tidak lama lagi.

Mula meledak dengan lagu berhantu yang juga runut bunyi filem Fast & Furious 7 berjudul See You Again bersama Wiz Khalifa, single demi single nyanyiannya terus menjadi.

Turut mencipta fenomena dan bekerjasama dengan superstar lain termasuk Meghan Trainor, strategi Charlie tampak berkesan.

Bahkan, baru-baru ini dua penyanyi itu mencetuskan kontroversi apabila berkucupan ketika membuat persembahan di America Music Awards 2015.

Secara muzikal, gandingan mereka begitu menjadi setiap kali menyanyi bersama. Lihat saja bagaimana lagu duet mereka berjudul Marvin Gaye berjaya menambat pendengar sekelip mata saja, selain cemerlang di carta lagu.

Bagaimanapun, aksi berkucupan itu semesti­nya membuatkan ramai tertanya-tanya apakah cerita sebenarnya. Bahkan, status mereka turut dipersoalkan adakah wujud bibit cinta atau tidak.

Mendedahkan kebenaran, ternyata Charlie mengakui dia dipaksa melakukan aksi itu yang pada mulanya tidak ada dalam perancangan.

“Saya sebenarnya ragu-ragu untuk meneruskan aksi berkenaan kerana bimbang ia akan lebih menjadi perhatian berbanding persembahan kami. Saya mahu ia disudahkan dengan pantas, namun penerbit menjerit di alat pendakap telinga menyuruh kami terus beraksi.

“Disebabkan itu, saya terpaksa mengucup Meghan juga kerana tidak mahu ia kelihatan canggung. Secara teorinya, saya memang tidak akan melakukan aksi itu,” katanya.

Secara jujur, dia sendiri mengakui kesal dengan arahan penerbit yang menyuruh mereka memanjangkan aksi berkucupan itu.

Bahkan, selepas insiden itu, Charlie serta-merta menjelaskan di Twitter bahawa dia dan penyanyi All About The Bass terbabit hanya kawan rapat. Dia tidak mahu ia menjadi isu kelak jika dia kelihatan keluar dengan perempuan lain.

“Saya sudah ada seseorang yang memang cukup sesuai dengan jiwa saya. Bagaimanapun, biarlah ia tidak didedahkan secara umum dan saya tidak mahu orang salah sangka,” katanya berterus terang sedang mendekati seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 9:11 AM