AFP

Berlin: Tandatangan presiden baharu FIFA Gianni Infantino (gambar) muncul dalam apa yang dipanggil ‘Panama Papers’ berkaitan hak siaran TV yang dipersoalkan di Amerika Selatan, menurut akhbar Jerman yang terbabit dengan kebocoran maklumat rahsia, kelmarin.

Infantino, 46, peguam Switzerland-Itali menggantikan Sepp Blatter yang digantung sebagai pemimpin utama FIFA Februari lalu, dibelenggu penahanan pegawai utama tahun lalu selain persoalan mengenai penganugerahan Piala Dunia 2018 dan 2022 masing-masing kepada Russia dan Qatar.

Ketika memegang jawatan sebagai ketua jabatan perundangan UEFA, pada 2006 dan 2007 Infantino menandatangani hak siaran TV bagi Liga Juara-Juara dan pertandingan lain dengan syarikat yang diketuai dua lelaki yang kini menjadi defendan dalam skandal FIFA, lapor akhbar Sueddeutsche Zeitung.

Namun Infantino menafikan sebarang salah laku dalam satu kenyataan.

“Saya berasa kecewa dan tidak menerima integriti saya dipersoalkan oleh sesetengah media, terutama memandangkan UEFA sudah mendedahkan butiran mengenai terperincikontrak itu,” ujar Infantino.

“Sejak saya mengetahui mengenai perkembangan terbaharu media mengenai perkara itu, saya menghubungi UEFA untuk mendapatkan penjelasan. Saya melakukannya kerana saya tidak lagi bersama UEFA dan mereka menyimpan semua maklumat kontrak itu.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:17 AM